HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2015

1MDB bukan punca ringgit jatuh, kata Arul Kanda

S Joan Santani & Mohd Iswandi Kasan Anuar


 


Kenyataan bahawa kejatuhan Ringgit disebabkan oleh isu hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semata-mata, adalah tidak benar, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda Kandasamy.

Beliau yang kesal kerana terdapat pelbagai pihak telah mengaitkan kemerosotan nilai Ringgit dengan 1MDB, berkata: "tidak ada hubung kait antara kedua-duanya."

"Mengatakan kejatuhan ringgit kerana satu syarikat, saya fikir agak keterlaluan," kata Arul Kanda ketika ditanya sama ada masalah kewangan 1MDB telah memberi tekanan tambahan pada mata wang tempatan.

"Jika anda melihat sebulan yang lalu dan menilai turun naik Ringgit, dan turun naik nilainya, dan melihat berita mengenai 1MDB, anda akan dapati tidak ada hubung kait," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, Ringgit banyak dipengaruhi oleh kejatuhan mendadak harga minyak dunia dan penurunan nilai Renminbi China yang telah memberi kesan buruk kepada mata wang tempatan.

Arul Kanda berkata kebimbangan terhadap pasaran baru muncul juga memberi kesan kepada mata wang pasaran baru muncul, susut nilai mata wang seperti mata wang Brazil, Norway dan New Zealand.

Gabungan kejatuhan harga minyak mentah, penurunan nilai mata wang China dan kenaikan dolar AS membawa kepada penurunan Ringgit sebanyak kira-kira 16 peratus berbanding dolar AS sejak Ogos tahun ini. Semalam Ringgit ditutup pada 4,2670.
Paras terendah

Begitu juga, mata wang Brazil, Real, yang jatuh ke paras terendah pada September, mata wang Norway, Kroner juga menjunam ke paras paling rendah pada bulan lepas manakala dolar New Zealand turun dengan ketara selepas China menurunkan nilai mata wang mereka.

Semua mata wang ini, termasuk Ringgit, dikaitkan sama ada kebimbangan terhadap pasaran baru muncul, penurunan nilai mata wang China atau kejatuhan harga komoditi terutamanya minyak mentah, yang kini berlegar pada paras terendah US$48 setong.

"Bukan untuk mengatakan 1MDB tidak memberi kesan langsung, saya bersetuju bahawa terdapat beberapa kesan dalam perkara tertentu.

"Tetapi saya juga ingin menyatakan bahawa pelbagai ketidaktentuan politik di dalam negara juga telah mempengaruhi nilai mata wang," kata beliau semasa di temu bual dalam program khas, "Bernama TV with Arul Kanda".

Program yang disiarkan di Astro saluran 502, HyppTV 410 dan www.bernama.com. pada 10 malam ini, dihoskan oleh Suriati Sanusi bersama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah.

Bagi mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap Ringgit, Arul Kanda berkata 1MDB menyediakan pelan rasionalisasi yang secara beransur-ansur akan melupuskan aset atau membawa masuk ekuiti baru untuk mengurangkan hutangnya.

Arul Kanda mengulangi bahawa 1MDB tidak pernah gagal membayar hutang dan telah membayar faedah dan pokok apabila tiba masanya.

"Daripada perspektif itu, pelabur akan lega yang kita mengakui cabaran, kami terbuka mengenainya dan akan memperbetulkan keadaan," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: