HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Oktober 2015

Padah sekeping gambar Najib

MALAYSIAKINI


 


Pembaca berita RTM rancangan berita Mandarin hari ini membaca berita tanpa sebarang visual sokongan.
Semua itu dikatakan berlaku selepas rancangan berita itu memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama hiasan grafik berkaitan 1MDB.

Ketua berita Mandarin RTM Tan Lee Won mengesahkan larangan penggunaan sebarang visual untuk rancangannya, lapor Sin Chew Daily.

Tan berkata arahan itu dibuat oleh pengurusan RTM semalam dan berkuat kuasa terhadap dua programnya pada 12 tengah hari dan 8 malam hari ini.

Beliau enggan menyatakan alasan diberikan dan masih tidak pasti tempoh larangan itu berkuat kuasa.
Sumber mendakwa hukuman itu susulan penggunaan gambar itu dalam berita malam semalam.

Laporan isu PKR vs Najib

Gambar itu dipapar ketika laporan berhubung kes saman PKR terhadap Najib berkaitan perbelanjaan pilihan raya.

Gambar itu pada asalnya dikeluarkan oleh Malaysiakini.

Ia menunjukkan Najib dalam keadaan tunduk dengan kolaj gambar-gambar berkaitan 1MDB di sekelilingnya, termasuk ahli perniagaan sensasi Jho Low.

Menjalani 'hukuman', pembaca berita RTM malam ini dilihat membaca berterusan untuk sepanjang program.

Dalam rancangan tengah hari tadi, skrip pembaca berita juga tidak ditukar yang menyaksikan pembaca berita masih merujuk kepada gambar yang tidak muncul di skrin televisyen.

Malaysiakini sudah menghubungi Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Salleh Said Keruak dan masih menunggu jawapannya.

Tiada ulasan: