HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2015

Nasharuddin ingin pastikan GMM berasaskan kesederhanaan

THE MALAYSIAN INSIDER

CEO GMM baharu, Nasharudin Mat Isa berkata yayasan tersebut perlu bergerak seiring keperluan semasa, iaitu dalam kerangka kesederhanaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2015.CEO GMM baharu, Nasharudin Mat Isa berkata yayasan tersebut perlu bergerak seiring keperluan semasa, iaitu dalam kerangka kesederhanaan. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Nasharudin Mat Isa mahu memastikan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) bergerak seiring keperluan semasa yang berteraskan prinsip kesederhaan.

Bekas timbalan presiden PAS itu, yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) GMM yang baharu berkata, matlamat awal yayasan itu ialah supaya objektif penubuhannya tercapai.
"Perkara yang menjadi perhatian segera dan kerja saya akan tertumpu ke arah mengemudi GMM agar selari dengan keperluan masa sebenar dan keperluan mendesak negara secara keseluruhannya, termasuk memastikan organisasi ini merealisasikan matlamat asalnya.

"Iaitu menjadi inisiatif baharu dan penting dalam hubungan antarabangsa dan polisi luar negara dengan fokus utama terhadap menerapkan perspektif dan kerangka kesederhanaan," kata Nasharudin dalam satu kenyataan media hari ini. 
 
Beliau berkata, GMM juga harus terus memainkan peranan dalam membina negara bangsa selain kekal relevan di peringkat antarabangsa.

"Penting juga dipastikan GMM dilihat kekal relevan dengan usaha ke arah pembinaan negara bangsa selain dalam bidang diplomasi serantau dan di peringkat antarabangsa," katanya.

Pengerusi GMM Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Nasharudin, berkuatkuasa 1 November, bagi menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah yang keluar Umno dan menyertai PKR.

Nasharudin, bekas ahli Parlimen Yan, mendapat ijazah dalam bidang perundangan Islam dari Universiti Jordan dan merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai timbalan presiden parti Islam itu, Nasharuddin merupakan salah seorang pemimpin utama yang mendokong usaha mengadakan perbincangan dengan saingan politiknya, Umno.


Tiada ulasan: