HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2015

Kedah e-Tutor - Sampai RM18 Juta !



Oleh Zulkifli Yahaya

1. Kedah e-Tutor (KeT) adalah aplikasi yang menawarkan kelas tuisyen dalam talian secara percuma kepada lebih 280,000 pelajar di negeri ini. Ia dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada April 2015 lalu.

Aplikasi tersebut kononnya membolehkan para pelajar yang berusia antara 10 hingga 17 tahun mengulangkaji pelajaran dan menjalani latihan dengan dipantau oleh guru serta ibu bapa masing-masing. 

2. KeT muncul kononnya selepas Kerajaan BN tertekan dengan prestasi pelajaran para pelajar - Kedah mendapat tempat kedua paling bawah dalam senarai semua negeri di Malaysia. Kerajaan negeri mahu Kedah berada dalam kelompok lima negeri paling atas.
3. Persoalan besar yang jadi tandatanya ialah perbelanjaan projek tersebut yang terlalu tinggi, iaitu berjumlah RM18 juta! Perak juga telah melancarkan aplikasi yang sama (dengan jumlah topik sedikit sahaja lebih kecil) tetapi kos projek hanya RM2.5 juta. Andaikan Kedah sekali ganda lebih besar, kosnya baru RM5 juta.. bukan RM18 juta. Mengapa kos KeT tersangat tinggi? Siapa yang mendapat anugerah menjalankan projek tersebut?

4. Sepatutnya Kedah mengambil pengajaran terhadap aspek kelemahan dan kekuatan pelaksanaan e-Tutor di Perak untuk jadi panduan, supaya apabila dilaksanakan di Kedah tidak menghadapi kegagalan.

5. Isu lain yang jadi persoalan ialah keberkesanan KeT. Sehingga kini tidak ramai pelajar yang tahu kewujudan KeT, begitu juga tidak ramai guru yang mendapat info mengenainya. Publisiti dibuat tidak meluas.

6. Dunia siber kini bersaing. Persembahan yang unik, kreatif, inovatif dan menakjubkan akan lebih diberi tumpuan. Lebih-lebih lagi jika mereka tidak dapat memperolehinya di tempat lain, maka di tempat istimewa itu yang akan jadi sasaran. Malangnya KeT tidak mempunyai ciri-ciri istimewa yang menyebabkan para pelajar tertarik. Ia cuma aksi guru mengajar yang dipersembahkan dalam bentuk video.

Video KeT sekali imbas tak ubah macam Rancangan TV Pendidikan tahun 70an dahulu. Cuma dahulu hitam putih, sekarang berwarna.

7. RM18 juta adalah angka yang sangat besar bagi sebuah kerajaan negeri. Jika jumlah tersebut dibelanjakan untuk membiayai guru-guru tusyen, lalu pelajar yang berminat dapat belajar tambahan secara percuma, ia lebih berkesan dan memberi manfaat berbanding KeT. Pendekatan dua hala tentu lebih berkesan berbanding KeT.

8. Selain faktor aplikasi yang tidak menarik, penggunaan aplikasi yang terpaksa menggunakan talian internet merupakan satu kekangan bagi sebahagian pelajar. Di Kedah masih terdapat kira-kira 25 peratus kawasan yang tidak mendapat liputan internet atau liputan tidak memuaskan.

9. Hakikatnya KeT, macam juga projek kerajaan BN yang lain, belanjanya besar namun hasilnya tidak sepadan dengan belanja besar dikeluarkan.

Tiada ulasan: