KUALA LUMPUR: DAP mengugut menyaman Pendaftar Pertubuhan (RoS) berikutan kelembapan “tidak munasabah” siasatannya terhadap pemilihan Jawatankuasa Pusat Eksekutif (CEC) parti berkenaan.
Bercakap di sidang akhbar hari ini, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh berkata, siasatan RoS itu sudah mengambil masa dua tahun.
Katanya, siasatan RoS terlalu lama itu adalah “melampau dan tidak munasabah”.
“Kami akan menimbang mengambil tindakan undang-undang jika tiada penjelasa diberikan dalam masa terdekat,” katanya.
“Ia satu pilihan untuk memastikan sama ada kelambapan itu wajar atau tidak,” tambahnya.
Gobind yang juga mengetuai Biro Undang-Undang DAP berkata, RoS harus mengambil kira impak siasatan yang terlalu lama terhadap pentadbiran DAP sebagai sebuah parti politik.
“CEC hanya mempunyai tiga tahun sepenggal,” tambahnya.
Pagi tadi, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri berkata, RoS masih meneruskan siasatannya kerana DAP tidak mengambil tindakan pembaikan yang dinasihatkan oleh RoS.
Ketika bercakap kepada wartawan, Loke menafikan dakwaan dan berkata, DAP telah mengambil tindakan disarankan sehingga mengadakan pemilihan baru CEC.
“Kami mempersoalkan niat sebenar mereka,” katanya.
“Adakah mereka menunggu sehingga pilihan raya akan datang bagi mengumumkan di saat akhir DAP tidak boleh menggunakan lambang roketnya?
Saya mengesyaki ini adalah agenda politik Barisan Nasional,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan