KUALA LUMPUR,  Kelicikan penjenayah cuba menyembunyikan diri akhirnya gagal selepas polis memberkas lapan suspek termasuk seorang remaja perempuan kerana dipercayai terlibat dalam kes samun dalam lif di kondomium di Setapak, dua minggu lalu.


Dalam kejadian 17 Oktober lalu, seorang wanita berusia 23 tahun disamun dua lelaki ketika menaiki lif ke rumahnya di tingkat lapan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dua suspek lelaki turut menaiki lif tersebut di tingkat 7 dan bertindak menyerang mangsa menggunakan siku sebelum merampas beg mangsa.

Menurutnya, susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah hotel di Jalan Kampung Batu 5, Jalan Ipoh, semalam.

“Siasatan mendapati salah seorang suspek yang ditahan ada kaitan dengan kes samun wanita di dalam lif dan mempunyai empat rekod jenayah serta tiga rekod individu dikehendaki di Selayang dan Gombak.

“Sebuah motosikal jenis 125Z turut dirampas dan dilaporkan hilang di Jinjang bulan lalu, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Taman Setapak Indah, kira-kira jam 12.40 tengah hari, semalam.

Menurutnya, suspek dipercayai memandu kereta jenis Honda CRV pada hari kejadian dan bertindak membawa lari dua rakannya selepas menyamun.

“Polis merampas sebuah kereta jenis Suzuki Swift dan dua set nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Pada hari yang sama, polis turut menahan dua rakan suspek dalam operasi berasingan di Taman Sri Ukay, Ampang dan Ukay Perdana Ampang, kira-kira jam 4 petang.
Rakaman CCTV menunjukkan kejadian samun di dalam lif di kondominium di Setapak, dua minggu lalu. Foto ihsan PDRM
Rakaman CCTV menunjukkan kejadian samun di dalam lif di kondominium di Setapak, dua minggu lalu. Foto ihsan PDRM
Mohamad Roy berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 33 tahun mempunyai 16 rekod jenayah.
Menurutnya, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai pekerjaan dan tidak bersekolah serta postitif air kencing membabitkan dadah jenis Syabu.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai tempoh kumpulan itu beroperasi namun siasatan awal mendapati mereka aktif di Sentul, Petaling Jaya dan Brikfirlelds membabitkan kes samun dan ragut.

“Sehubungan itu, wanita dinasihatkan meminta pengawal keselamatan menemani mereka ketika menaiki lif. Ini untuk mengelakkan berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya.