HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2015

'Tiada siapa yang kebal dalam UMNO' - Ismail Sabri

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
 
'Tiada siapa yang kebal dalam UMNO' - Ismail Sabri
Ditanya siapakah tujuh individu yang sedang disiasat itu, Ismail Sabri berkata orang ramai tahu siapakah individu tersebut. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Tidak ada siapa yang kebal dalam peraturan dan perlembagaan UMNO, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas berkenaan isu tujuh individu di dalam UMNO yang sedang disiasat kini.

Malah, Ismail Sabri berkata setiap individu di dalam UMNO tidak kira jawatan perlu mematuhi peraturan dan perlembagaan yang telah ditetapkan.

"UMNO mempunyai peraturan, kita mempunyai perlembagaan dan setiap ahli tertakluk kepada peraturan dan perlembagaan UMNO.

"Jadi tidak kira siapa, dari peringkat yang terendah; ahli biasa, ketua cawangan hingga ke peringkat tertinggi. Tidak ada siapa yang kebal dalam peraturan dan perlembagaan UMNO," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Ditanya siapakah tujuh individu yang sedang disiasat itu, Ismail Sabri berkata orang ramai tahu siapakah individu tersebut.

"Bukan masalah yang besar, hanya segelintir sahaja pihak-pihak tertentu. Saya rasa tidak perlu saya sebutkan nama pun kita semua tahu, siapa yg bergerak secara terbuka, menggunakan platform bukan di dalam parti, tetapi di luar parti dan untung menghentam kepimpinan dan sebagainya.

"Jadi tindakan ini saya anggap tindakan yang tidak betul kerana sebagai kepimpinan parti misalnya dan ahli parti, kita punyai forum-fourm tertentu untuk menyuarakan pandangan tidak puas hati dan sebagainya tetapi tidak boleh kita dedahkan di khalayak ramai, apa yg melibatkan kepentingan parti dan sebagainya," katanya.
Beliau turut berpandangan mana-mana individu yang cuba untuk mengkucar-kacirkan UMNO perlu diambil tindakan tegas. 
 
 

Tiada ulasan: