HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2015

Apakah DAP tak percaya Amanah bertanding kerusi PAS, soal Mustafa Ali

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata tindakan DAP mahu bertanding di kerusi PAS di Selangor memperlihatkan mereka tidak mempercayai Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 October, 2015. 
Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata tindakan DAP mahu bertanding di kerusi PAS di Selangor memperlihatkan mereka tidak mempercayai Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
PAS mempersoalkan mengapa DAP mahu bertanding di kerusi mereka di Selangor, seolah-olah tidak mempercayai sekutu mereka dalam Pakatan Harapan, Parti Amanah Negara (Amanah). Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan DAP itu memperlihatkan mereka tidak mempercayai rakan politiknya sendiri.

“Apa perlunya DAP ‘kacau’ kawasan yang PAS pernah tandingi? Adakah DAP tidak dapat mempercayai rakan politiknya sendiri,” kata Mustafa dipercayai merujuk kepada Amanah yang seharusnya menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan.

“Ini semua kata-kata sedap sendiri dan sangat angkuh walaupun pilihan raya masih jauh, sepatutnya terdapat rundingan tentang hal ini sesama mereka dalam Pakatan Harapan,” katanya di laman Facebook rasminya, hari ini. 
 
Semalam, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dilaporkan berkata, parti itu sudah bersiap sedia untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS di Selangor.

Bagaimanapun ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, perkara itu akan diperhalusi dalam mesyuarat Pakatan Harapan Selangor terlebih dahulu.

Kerusi-kerusi DUN PAS yang bakal ditandingi DAP ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Paya Jaras.

Dalam reaksi segeranya, PAS Selangor mempertikaikan hasrat DAP yang mahu bertanding di 8 kerusi DUN mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, parti Islam itu sedia maklum DAP mahu merebut kerusi mereka, namun pihaknya berpendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

"Sebelum ini kita dengar ada ura-ura mereka akan masuk kawasan PAS... kita akan terus bertanding di situ dan akan pertahankan kerusi kita," katanya.

Baru-baru ini Naib Presiden PAS Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan parti Islam itu sedang mencari calon bukan Islam untuk melawan DAP pada PRU14.

Amar berkata, buat masa ini mereka masih membuat pemerhatian mengenai perkara itu memandangkan masih mempunyai banyak masa sebelum PRU14.

Beliau berkata, parti Islam itu sedang meneliti maklumat untuk meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kawasan berpotensi menang.


Tiada ulasan: