HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2015

Kita tidak memberikan perhatian kepada etika dan moral dalam kepimpinan



Oleh Aspan Alias


UMNO dan pemimpin-pemimpinnya sedang sibuk bercakap tentang perpaduan dalam UMNO. Khairy Jamaluddin diantara yang bercakap tentang perpaduan bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang. Tetapi pemimpin-pemimpin ini tidak mahu mengakui yang perpecahan dalam parti itu adalah hasil dari kelemahan pimpinan yang ada hari ini. Jika pimpinan sekarang ini berkepimpinan parti itu tidak akan menghadapi perpecahan.

Masalah dalam UMNO itu adalah masalah yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpinnya terutamanya pemimpin utama nya. UMNO dulu-dulunya bersatu dan padu sehinggakan tiada mana-mana parti pun boleh mengatasinya. Ia menjadi tonggak kerajaan Malaysia dan UMNO memerintah sejak kita mencapai kemerdekaan. Tetapi sokongan kian terhakis dan dalam dua pilihan raya yang lalu UMNO sudah mulai pudar dan kian hari kian merudum.

Tentu ada sebabnya kenapa dulu UMNO itu kuat dan sekarang dia sudah lemah dan hampir tersungkur dihadapan rakyat. Jawapannya mudah. Kuat atau lemahnya UMNO itu berpunca dari pucuk pimpinannya. Keyakinan terhadap pucuk pimpinan itu merupakan elemen terbesar dalam kepimpinan negara. Itu sebabnya di negara maju sebelum seseorang yang ingin menjadi pemimpin seperti Perdana Menteri dia mesti seseorang yang bersih dari persepsi buruk rakyat yang mahu dipimpinnya.

Di barat seperti di AS kita telah menyaksikan betapa persepsi buruk seseorang pemimpin itu tidak membenarkan diri mereka menjadi calon atau bercita-cita untuk menjadi pemimpin. Garry Hart misalnya merupakan seorang calon yang berpontensi untuk menjadi calon parti Democrat dalam tahun 1988 dahulu. Selepas Walter Mondale calon Democrat kalah kepada calon  Republican (Ronald Reagan) dalam pilihanraya Presiden pada tahun 1984 dahulu, Garry Hart merupakan seorang calon Democrat yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya Presiden pada tahun 1988 dahulu.

Tetapi setelah beliau dipersepsikan sebagai seorang pemimpin yang mempunyai skandal seks walaupun tidak disabitkan oleh mahkamah, Garry yang begitu berpotensi telah terpaksa dan memaksa dirinya berundur dari menjadi calon Democrat kerana hendak menjaga imej Democrat yang sangat-sangat memerlukan kuasa dan memenangi pilihanraya Presiden AS. Maka Micheal Dukakis telah menjadi pilihan Democrat yang menggantikan Garry Hart dalam pilihanraya Presiden pada tahun 1988 itu. Walau bagaimana pun Dukakis telah kalah kepada Bush (Republican) dengan hanya mendapat 45% undian sedangkan Bush mendapat 53%.

Kenapa nilai dan persepsi rakyat itu penting kepada sesiapa yang ingin menjadi pemimpin atau yang mahu terus menjadi pemimpin? Politik itu adalah 'game of perception' pada hakikatnya. Ramai pemimpin di Barat terlibat dengan budaya seks tetapi apabila sampai saat memilih pemimpin mereka yang berjaya menjauhkan persepsi buruk itu dimata rakyat mereka terus mencari kuasa kepimpinan. Tetapi apabila diketahui umum dan persepsi rakyat percaya tentang perlakuan yang disebarkan oleh media itu mereka dengan sendiri memahami apa yang perlu mereka lakukan. Mereka menarik diri dari perlumbaan mendapatkan kuasa itu. Mereka tidak mahu peribadi beliau menyusahkan rakyat dan kerajaan yang bakal dipimpin mereka.

Sebaliknya disini isu ini tidak dijadikan isu penting walaupun kita beragama Islam yang dilaungkan kesana dan kemari. Skandal Scorpene misalnya sepatutnya tidak melayakkan Najib untuk terus menjadi pemimpin kerana skandal itu berlaku dibawah dagunya semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri yang juga menjaga kementerian pertahanan. tetapi beliau tetap dengan usahanya untuk menjadi pemimpin dan ramai 'warlords' UMNO memberikan beliau lampu hijau dan membantu beliau untuk naik lebih tinggi dan menjadi Perdana Menteri. Oleh yang demikian kenapa kita begitu terperanjat dengan perlakuan Najib sesudah menjadi Perdana Menteri? Bukankah skandal di bawah kementerian yang dijaga nya itu sudah menjadi biasa?

Sepatutnya Najib atau sesiapa yang berhadapan dengan skandal kewangan dan sebagainya itu tidak boleh diberikan lagi peluang untuk memimpin kita. Kita wajar serius dalam memilih pemimpin ini semata-mata untuk memastikan negara kita terjamin kebersihan kepimpinan itu.

Apa yang berlaku sekarang ini dan seperti yang saya sebutkan dalam posting yang lepas mesti dijadikan pelajaran dan mengakui bahawa kebersihan moral dan etika itu mesti di utamakan dalam memilih pemimpin dimasa-masa yang akan datang.

Jangan kita anggap apa yang diperkatakan ini satu isu baru. Cara pemilihan pemimpin dari mereka yang bersih dan bebas dari persepsi buruk ini sudah dibudidayakan di kebanyakan negara maju. Hanya kita sahaja yang ketinggalan kerana kita lebih mementingkan kepentingan peribadi dan itu jugalah sebabnya di negara kita ini politik itu adalah 'dynastic politics' dalam mana politik itu dikuasai oleh beberapa keluarga sahaja.

Kita harus mengorak langkah untuk kearah memilih pemimpin yang tinggi etika kepimpinannya dan tinggi moral kemaknusiaannya. Jika budaya ini dijadikan budaya politik negara maka tidak timbul isu pemimpin menyalahgunakan kuasa dengan memanipulasikan sumber kewangan negara dengan bebas dan tidak terkawal ini. Kepada sesiapa yang berpengaruh di kalangan 'warlords' kepimpinan wajar mengambil langkah permulaan untuk mempraktikkan amalan etika dan moral yang tinggi dalam pemilihan pemimpin itu.

Kita sudah jemu mendengar retorik buruk dari pemimpin yang menggunakan agama, bangsa dan berbagai-bagai isu yang remeh semata-mata untuk mengelirukan rakyat untuk kuasa. Kita sekarang berada dalam millennium yang baru yang sangat memerlukan perubahan sikap yang sejajar dengan kehendak moral, agama dan etika kepimpinan untuk menjadikan negara kita setanding dengan negara-negara maju dalam isu kepimpinan ini.

Kita terpaksa bermula dari awal bagi menyemai benih kebersihan kepimpinan sesebuah negara yang merdeka seperti negara kita ini. Jika kita gagal kita akan memindahkan segala kesusahan dan keburukan oleh perlakuan kita kepada generasi kita yang akan datang. Bolehkah kita mengakui  sebagai generasi yang berjaya untuk mewariskan sebuah negara yang baik untuk mereka di masa yang akan datang?

Bawalah berfikir barang sejenak dalam hal ini setiap hari. Kata ramai ulamak yang muktabar, berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam.

Tiada ulasan: