Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, sejarah GST yang dilaksanakan oleh negara-negara lain menunjukkan kadarnya dinaikkan selepas beberapa tahun diperkenalkan.
“Jika kita bercakap beberapa tahun akan datang, saya rasa ia bukan kemungkinan tapi satu kepastian. GST ini memang ‘confirm’ akan naik. Kalau kita tengok di negara-negara lain pun, selepas beberapa tahun diperkenalkan, kadarnya pasti akan naik.
“Sebagai ‘counter ballance’, biasanya, cukai pendapatan dan cukai korporat akan diturunkan. Jadi, kenaikan kadar GST ini bukan satu perkara yang pelik dan saya rasa itu memang boleh dijangka dari awal.
"Saya tidak melihat kenaikan kadar itu sesuatu yang negatif. Bukan benda pelik... memang sepatutnya naik tapi yang peliknya ialah jika kadar itu tidak naik-naik tiap tahun,” katanya kepada Sinar Online.
Sebelum ini, susulan pembentangan Bajet 2016, Pas melahirkan kebimbangan kemungkinan kenaikan kadar GST akan berlaku ekoran kebergantungan kerajaan pada hasil kutipan GST.
Namun menurut Wan Saiful, sebelum kenaikan kadar GST itu dilakukan oleh kerajaan, pertimbangan utama berkaitan faktor pendapatan rakyat perlu diambil kira.
“Kenaikan pendapatan rakyat memang setiap tahun akan berlaku, jadi, mungkin apa yang berlaku ialah peningkatan itu tidak selaras dengan... ataupun tidak sebanding dengan peningkatan kos sara hidup. Tapi yang pastinya, pendapatan rakyat memang pasti akan meningkat dari tahun ke tahun.
“Sekiranya pendapatan rakyat masih lagi dianggap sebagai tidak cukup tinggi untuk membolehkan GST dinaikkan, maka ini memberikan pertimbangan kepada kerajaan, ‘mungkin masanya tidak sesuai untuk naikkan terlalu banyak’.
“Saya rasa ini perkiraan yang perlu dibuat dari semasa ke semasa, kalau sekiranya kenaikan pendapatan rakyat amat rendah pada tahun 2018 contohnya, maka 2018, jangan dinaikkan lagi (kadar GST).
"Tunggulah 2019 untuk membuat perkiraan lain... perlu dinaikkan atau tidak. secara prinsipnya, naik memang pasti tapi berapa banyak, bila naik, itu bergantung pada perkiraan semasa,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesional Negara (MPN), Prof Razli Che Razak berkata, meskipun hasil GST cukup besar namun ia tidak mampu menampung sepenuhnya pendapatan kerajaan.
“GST akan memberi sumbangan besar kepada negara dan kebetulan dengan hasil minyak yang semakin menguncup sedikit, maka GST dapat menampung tapi tidak dapat menampung penuh lagi. Sebab ia tak boleh nak ‘cover’ yang disumbang oleh Petronas.
“Jadi, keputusan (laksana GST) yang dibuat kerajaan setakat ini bagus. Ia dapat menampung ruang dan kekosongan akibat kekurangan harga minyak yang lebih rendah dan harga komoditi itu,” katanya.
Meskipun ia memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara, namun masalah berkaitan kestabilan harga masih belum diatasi sepenuhnya yang menyebabkan rakyat melihat GST itu hanya memberi kesan buruk kepada mereka.
“Cuma masalah yang saya lihat adalah, kestabilan harga (barang) masih belum berlaku. Ia mungkin akan memakan masa yang panjang, kira-kira setahun tapi sekarang baru enam bulan diimplementasikan dan kestabilan harga itu kita lihat masih belum berlaku lagi.
“Jadi, rakyat melihat ia (GST) memberi kesan (kepada mereka) kerana harga barang itu naik. Saya rasa yang patut dilakukan adalah sebagaimana yang dijanjikan kerajaan ialah pemantauan pada harga kerana rakyat tidak rasa bahawa pengawalan harga itu berlaku.
“Jika GST diimplementasikan dan pemantauan terhadap harga boleh dilakukan dengan baik, saya fikir ia sudah cukup,” katanya.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Prof Dr Syed Aziz Abu Mansor pula berpendapat, sekiranya kerajaan melihat pendapat negara tidak mencukupi, kadar cukai GST akan dinaikkan.
“Cukai itu tidak berdasarkan pendapatan rakyat tapi mengikut...tengok duit cukup atau tidak untuk pembangunan negara, ada duit ‘short’ di mana-mana ke. Saya rasa jika duit masih tidak cukup untuk pembangunan negara, ia akan naikkan cukailah, GST.
“Ia bergantung pada bagaimana kerajaan membelanjakan wang. Jika belanja berhemah, mungkin tak perlu naikkan lagi dan mungkin boleh kurangkan lagi kadar cukai itu,” katanya.
Katanya, sekiranya rakyat terpaksa berdepan kenaikan kadar GST namun pendapatan masih di takuk lama yang tidak setanding dengan kenaikan kos sara hidup, jelas rakyat akan marah.
“GST naik, sakit lagilah rakyat. Tak payah tanya. Kalau naik lagi cukai, bising lagilah rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan