HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2015

Wujud 486 Klinik Rawatan Merokok tetapi kurang sambutan

Hafiz Marzukhi dan Harits Asyraf Hasnan, Astro Awan
 
Wujud 486 Klinik Rawatan Merokok tetapi kurang sambutan
Terdapat 70 peratus masyarakat mahu berhenti merokok namun secara purata (mereka) boleh berhenti apabila mendapat lapan kali rawatan. - Gambar Hiasan
 
 
KUALA LUMPUR: Sejumlah 486 Klinik Rawatan Merokok telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha membantu perokok berhenti merokok.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata hanya 18 peratus sahaja daripada golongan perokok tampil mendapatkan rawatan.

"Terdapat 70 peratus masyarakat mahu berhenti merokok namun secara purata (mereka) boleh berhenti apabila mendapat lapan kali rawatan," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memperluaskan zon larangan merokok.

Tambah Dr Hilmi, kementerian sedang dalam perancangan memperluas zon larangan merokok sejajar dengan Artikel 8 Perjanjian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok.

Malah, kerajaan juga sebelum ini telah mengambil langkah mewartakan beberapa kawasan larangan merokok termasuk kawasan rehat dan rawat di lebuh raya seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Menurutnya trend masa kini memperlihat masyarakat beralih kepada penggunaan vape dengan alasan mahu berhenti merokok.
"Sehingga kini, terdapat dakwaan mengatakan vape mengandungi 7,000 bahan kimia dan 87 daripada bahan itu berpotensi menyebabkan kanser," katanya yang juga menyeru masyarakat untuk tidak memulakan tabiat itu terutamanya pelajar sekolah. 
 
 

Tiada ulasan: