SHAH ALAM: Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Muhamad Hussin mendakwa
kemasukan ADUN Salor, Datuk Husam Musa ke dalam parti itu mampu membawa
perubahan kepada politik di negeri berkenaan.
Muhamad yang dipetik sebuah portal berkata, Amanah Kelantan yakin
dengan kemampuan Husam, justeru menyerahkan tanggungjawab tersebut
kepada bekas pemimpin PAS itu untuk mengetuai parti bagi merampas
kerajaan negeri daripada PAS.
"Kita yakin dengan kemampuan yang beliau ada pengalaman yang beliau
lalui, hasrat Amanah untuk ambil pemerintahan Kelantan daripada PAS akan
tercapai sekaligus menghalang daripada dirampas Umno.
"Peranan Husam untuk menawan Kelantan itu memang kita bagi ruang yang
cukup besar kepada beliau. Sebab PAS sekarang ini bermasalah, pelbagai
isu timbul dan rakyat makin keliru dengan perjuangan PAS.
"Amanah juga akan tawarkan kepada rakyat fokus perjuangan kita untuk
mengambil alih kerajaan," katanya dipetik portal berkenaan.
Tambah Muhamad, parti itu sedia menawarkan jawatan tertinggi diperingkat negeri kepada Husam.
Husam, yang juga bekas Naib Presiden PAS mengumumkan penyertaan ke
dalam Amanah dalam satu majlis Makan Malam Ambang Merdeka anjuran Amanah
Wilayah Persekutuan, Selasa lalu.
Beliau dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu selepas lantang mengkritik
kepimpinan parti itu terutamanya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan