MALAYSIAKINI
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut melahirkan rasa kesal dengan
kenyataan tidak sensitif Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang
dikatakan mempersenda kematian allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Dr
Haron Din semalam.
"Saya ingin melahirkan rasa kesal terhadap ahli keluarga sekiranya
tersinggung dengan apa yang berlaku berkaitan tweet Jeff Ooi kerana ini
tidak mewakili pendirian parti.
"Meski kami sering berbeza pendapat dalam banyak hal politik, DAP
yakin dan percaya bahawa allahyarham telah menyumbang kepada agama
Islam," kata beliau yang juga anggota parlimen Bagan dalam kenyataannya.
Ekoran tulisan dalam twitternya yang tertera catatan 'Adios Harun Din. Let there be peace' mengenai kematian arwah Haron Din semalam, Jeff Ooi mengundang pelbagai reaksi dan kritikan negatif pelbagai pihak.
Jeff Ooi kemudian menjelaskan di twitter itu bahawa maksud 'Adios' dalam bahasa Sepanyol ialah 'farewell' dan dalam Bahasa Malaysia sebagai 'selamat jalan'.
Antara yang mengkritik ialah Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor
Othman yang menyelar sikap biadap dan tidak bertanggungjawab Jeff Ooi
sebagai bebal dengan pihaknya tidak bersekongkol dan akan menjarakkan
diri dengan tindakannya itu.
"PKR sentiasa percaya bahawa manusia itu dilahirkan mulia dan kita
seharusnya meletakan kemuliaan insan sebagai satu asas penting dalam
etika kita berpolitik.
"Perbezaan politik tidak seharusnya menjadikan kita hilang sifat
kemanusiaan dengan mempersenda-sendakan kematian sesiapa pun," katanya
dalam kenyataan.
Pada masa yang sama, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
berkata antara 'politik bodoh' pemimpin DAP tertentu ialah membuat
kenyataan yang menimbulkan kemarahan sesuatu kaum tanpa sebarang faedah
kepada politik dan negara.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, beliau dilihat jelas merujuk kepada tweet Jeff Ooi berhubung kematian Dr Haron Din.
Turut membidas ialah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang mahu Jeff
Ooi memohon maaf kepada keluarga allahyarham Dr Haron Din di atas
kenyataan biadapnya di Twitter berhubung kematian mursyidul am PAS itu
semalam.
DPPM menyifatkan Jeff Ooi sebagai seorang ahli Parlimen yang "paling
kurang ajar di negara ini" apabila sanggup mengeluarkan perkataan
tersebut pada waktu sangat tidak sesuai dan mendakwa ia sekaligus
membayangkan wajah DAP.
Mengulas lanjut, Lim berkata, beliau juga dimaklumkan Jeff telah memadamkan catatan twitter terbabit.
"Sesungguhnya, DAP turut mengucapkan takziah dan simpati atas kesedihan yang ditanggung ahli keluarga serta rakan-rakannya.
"Sekali lagi saya menitipkan belasungkawa buat arwah sekeluarga bagi
pihak seluruh keluarga besar DAP dan berharap agar rohnya ditempatkan
bersama para orang soleh," tambah beliau.
Sementara itu, Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH),
Abdul Ghani Samsuddin berkata, parti itu ingin melahirkan rasa kecewa
terhadap tindakan segelintir individu yang bertindak biadap mengulas
berkaitan pemergian arwah Haron hingga mencetuskan kemarahan semua
pihak.
"AMANAH menolak sekeras-kerasnya tindakan seperti ini yang tidak
mencerminkan sifat yang sepatutnya ditunjukkan oleh semua orang tanpa
mengira agama, bangsa mahupun parti politik.
"Perbezaan pendapat dan idealogi tidak sewajarnya menjadi punca untuk
tidak menghormati pemergian tokoh tersebut," kata beliau dalam
kenyataan.
Justeru, AMANAH menasihatkan semua pihak khususnya ahli parti dan
ahli rakan komponen Pakatan Harapan agar menghormati akan pemergian
Almarhum, tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan