Oleh Abdul Rahman Malik
Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] DAP
perlu konsisten dengan pendiriannya mahu presiden PKR, Datuk Seri Wan
Azizah Wan Ismail menjadi Perdana Menteri jika pihak pembangkang
berhasil merampas kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
Jika masing-masing beranjak dari ketetapan awal itu, padahnya ialah
anggota baru pakatan itu, PPBM akan merampas peluang untuk menjadi
peneraju pakatan itu.
PH kini memasuki peringkat genting dan paling menguji dan menguja dalam
pemuafakatan mereka mahu menjadi pemerintah di Malaysia.
DAP, PKR dan Amanah akan diuji betapa murni sebenarnya hasrat mereka
mahu memenangi amanah rakyat untuk berkuasa mentadbir negara.
Memandangkan skim pemuafakatan di antara mereka masih terlalu rapuh,
dalam sekelip mata perimbangan kuasa dan pengaruh di antara ketiga-tiga
parti boleh berubah.
Ditokok pula dengan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
bahawa ia akan menganggotai pakatan itu, banyak model perimbangan kuasa
baru akan berlaku hingga menguji kesetiaan dan menguja nafsu politik
masing-masing.
Parti Amanah Negara (Amanah) misalnya, akan tahu bagaimana tiga rakan
kongsinya menilai fungsinya dalam pakatan itu. Adat politik, jika
keanggotaannya tidak berbaloi, ia akan ditendang keluar atau dibiarkan
hidup lara.
Oleh itu Amanah perlu bersiap siaga menghadapi kekecewaan besar kerana
kehadirannya dalam politik Malaysia mungkin sebenarnya tidak dihargai.
Kegalauan ini mungkin berlaku jika ketiga-tiga parti pengasas PH ini
leka dan culas berfikir jauh betapa PPBM sudah mula menyerlahkan taring
politik yang akan memerangkap mereka.
PPBM mahu nama, logo Pakatan Harapan diubah
Tun Mahathir Mohamad kini mahu nama PH itu diubah jika mahu PPBM
bergabung dengannya. Ini adalah satu penilaian diri atau ego yang besar.
Mahathir berkata, secara dasarnya PPBM bersetuju selain nama pakatan
baru, mereka ingin satu logo dan manifesto sahaja digunakan dalam
pilihan raya umum akan datang.
PPBM sebelum ini hanya mengikat kerjasama politik bersama gabungan itu
dengan matlamat meletakkan satu calon mewakili pakatan itu untuk sesuatu
kawasan pilihan raya.
Setelah menyelami kekuatan setiap anggota penaja Pakatan Rakyat sejak
beberapa bulan lalu, Mahathir kini maklum dan dapat mencongak kelebihan
serta kelemahan setiap ahli PH.
Mahathir sedar cuma DAP ada kekuatan sendiri. DAP mampu meraih sokongan
majoriti pengundi bukan Melayu/Islam. Hakikat ini tidak boleh disangkal
PKR mahupun Amanah.
Beliau maklum bahawa DAP amat memerlukan sokongan parti Melayu seperti PKR, dan/atau Amanah serta PPBM sendiri.
Lantas jika Mahathir dapat menyatukan PPBM, PKR dan Amanah serta
menggembleng mereka supaya tidak menyokong DAP, parti dominasi Cina itu
akan tinggal sebagai parti bukan Melayu terbesar sahaja yang mungkin
kempunan nikmat memerintah Malaysia.
Dalam keadaan ini pilihan yang tinggal bagi DAP ialah berkongsi pemerintahan Malaysia bersama PPBM atau PAS sahaja.
Sebelum ini Mahathir menonton dengan penuh minat perbalahan ideologi di
antara PAS dan DAP. Kini Mahathir yakin kedua-dua parti itu tidak akan
boleh bekerjasama.
Tanpa PAS, DAP tiada pilihan selain merapati PKR. Namun Mahathir
membaca itu akan merumitkan kepentingan beliau dan PPBM kerana ketua de
facto PKR masih Anwar Ibrahim.
Mahathir terus sedar ancaman Anwar padanya
Mahathir terlalu kenal siapa itu Anwar. Anwar licik. Sebab itu, di
peringkat mula kemunculannya di platform pembangkang, Anwar bingkas
memberi amaran kepada anak-anak buahnya jangan terlalu mendekati
Mahathir.
Bagaimanapun Mahathir pantas membaca strategi Anwar. Beliau tahu Anwar
pasti ada rancangan “mengenakannya” dalam percaturan politik.
Apabila melihat Anwar sanggup menurunkan tandatangannya pada
perisytiharan ‘boleh bekerjasama dengannya’ hanya beberapa minggu
selepas memberi amaran pada PKR jangan merapati beliau, Mahathir dapat
merumuskan “ada isu yang belum selesai di antara mereka”.
Lakonan Anwar dirungkainya. DAP dan PKR perlu direnggangkan. Mahathir
juga insaf DAP sendiri sebenarnya menunggu peluang mengambil alih
kedudukan PKR sebagai peneraju blok pembangkang.
Namun bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Ibrahim mendedahkan bahawa
Mahathir dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang ada pakatan sulit mahu
menobatkan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anak Mahathir,
Datuk Seri Mukhriz menjadi Perdana Menteri.
DAP paling gembira. Ia tahu jika parti-parti Melayu-Islam terus
bercakaran, undi Melayu pecah dan kuasa mereka berbelah bahagi dan tiada
parti pembangkang Melayu yang mampu meraih kerusi lebih banyak
daripadanya.
Ketika itu, DAP mungkin menjadi parti pembangkang paling banyak kerusi
Parlimen dan parti-parti Melayu akan beratur panjang mahu DAP memilih
mereka menjadi kerabatnya DAP sebagai parti pemerintah.
Mahathir pula mungkin berkira dalam keadaan itu PKR dan Amanah sudah
merosot menjadi parti tempelan sahaja. Yang tinggal ialah sama ada Umno,
PAS atau PPBM.
Umno tidak mungkin mahu berkongsi kuasa dengan DAP. Begitu juga PAS.
Maka yang tinggal hanya PPBM. Memahami kedudukan Melayu/Islam di bawah
Perlembagaan Negara, PPBM akan muncul paling layak memimpin kerajaan
baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan