Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: MCA bingkas membidas Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng
yang menggesa parti itu mengisytiharkan aset kepada umum selepas didakwa
gagal menyalurkan peruntukan kepada sekolah cina.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong dengan nada sinis,
menyindir Lip Eng dengan meminta partinya, DAP, agar turut
mengisytiharkan jumlah bantuan yang diberi kepada sekolah berasaskan
kaum itu.
"Jika anda mahu kami isytihar aset, itu memalukan kerana saya tak fikir sesen pun mereka beri (duit) kepada kaum Cina.
"Jadi tolong, jika anda mahu tahu (berapa aset), anda juga yang perlu
isytihar berapa yang anda berikan," katanya kepada pemberita sewaktu
ditemui di lobi Parlimen sebentar tadi.
Wee juga berkata, DAP lebih 'memalukan' apabila menganjurkan kutipan
dana menerusi 'kempen tin milo' namun ia bukan digunakan untuk membantu
masyarakat Cina, sebaliknya ia untuk kegunaan pusat khidmat wakil rakyat
mereka.
"Saya tak mahu layan orang gila ini. Kita tahu apa yang kita lakukan.
Senang cerita, isytihar berapa banyak yang mereka kumpul untuk komuniti
melalui kempen tin milo.
"Ada anda lihat pemimpin MCA dapatkan dana untuk pusat khidmat mereka? Tak masuk akal," katanya lagi.
Terdahulu, Lim Eng dalam sidang media pagi tadi menggesa MCA
mengisytiharkan aset parti itu kepada umum, berikutan kegagalan
memberikan peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan
Sekolah Menengah Kebangsaan Cina.
Menurut Lip Eng, tindakan ini akan membuktikan sama ada MCA adalah
parti yang benar-benar memperjuangkan nasib kaum Cina di dalam negara
atau sebaliknya hanya menggunakan wang kerajaan persekutuan semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan