Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Amanah menyifatkan sokongan Presiden Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap RUU bagi meminda Akta
Mahkamah Syariah (Akta 355), sebagai bersifat peribadi dan tidak
menggambarkan sokongan keseluruhan parti pimpinannya.
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan berpandangan, apa yang diutarakan
Muhyiddin itu hanyalah pandangan sebagai Ahli Parlimen Pagoh, di mana
mantan Timbalan Perdana Menteri itu merupakan ahli Parlimen tunggal
PPBM.
"Sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin menggambarkan sokongan
beliau sebagai anggota Parlimen Pagoh, dan tidak menggambarkan sokongan
daripada ahli atau kepimpinan Bersatu (PPBM) itu sendiri," katanya
kepada Antarapos.
Sany berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan PPBM bersetuju dengan RUU
yang bakal dibawa Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
Tuan Ibrahim yang dipetik sebuah portal semalam berkata, hasil
perbincangan antara PAS dengan Muhyiddin, Presiden PPBM itu menyatakan
pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan RUU355 di Parlimen.
Bagaimanapun menurut Sany, Amanah tidak mempunyai masalah sekiranya PPBM mahu menyokong langkah PAS itu.
Namun ujarnya, adalah lebih baik parti baru itu menunggu sehingga RUU
itu dibentangkan terlebih dahulu bagi membolehkan kesemua pihak
memahaminya sebelum membahaskan mengenai pindaan yang dicadangkan.
"Saya rasa Tan Sri Muhyiddin sendiri pun tidak tahu apa yang hendak dibawa oleh Ahli Parlimen Marang.
"Sebab itu saya katakan tadi, kita (Amanah) kena tengok dulu apa yang
hendak dibawa berkaitan soal 355, soal penjaranya, rotannya,
dendanya...Kita nak lihat dulu. Sebab itu ia perlukan perincian,
perbahasan," ujarnya lagi
Sany dalam masa yang sama menegaskan, pendirian Amanah dari awal lagi
tidak menentang hasrat PAS mahu meminda Akta 355, namun pihaknya lebih
senang mengambil pendekatan untuk meneliti terlebih dahulu pindaan yang
terkandung dalam RUU itu.
Jelas beliau, sebagaimana yang ditegaskan Timbalan Presiden Amanah,
Salahuddin Ayub, langkah itu dilihat lebih selamat berbanding
mengumumkan terlebih dahulu pendirian berhubung RUU yang dibawa oleh PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan