Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pembangkang memerlukan individu seperti Mandeep Singh Karpal
untuk melontar buah fikiran yang tajam demi masa depan Pakatan Harapan
(PH).
Demikian menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution ketika
mengulas pandangan dan kritikan ahli sekretariat BERSIH itu terhadap
pembangkang kebelakangan ini.
"Saya menghormati pandangan Mandeep, ia satu pandangan yang tajam, realistik dan pembangkang memerlukan kepimpinan Mandeep.
"Jika Mandeep sambil terus aktif dalam BERSIH, dan dia bersedia
memimpin pembangkang, itu lebih baik. Bermakna Mandeep boleh menawarkan
kepimpinan yang baik dalam pembangkang," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas jika tawaran kepimpinan itu merujuk kepada penyertaan Mandeep ke dalam PKR.
Dalam pada itu Saifuddin berkata kritikan tersebut tidak sampai
'melukakan' pembangkang kerana kesemua pimpinan mengambil sikap terbuka.
Malah beliau menganggap pandangan Mandeep itu disuarakan selepas
melihat kelompongan yang perlu diisi pembangkang demi survival politik
mereka, apatah lagi bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
"Kita terbuka terhadap sebarang kritikan dan teguran. Bukan itu sahaja,
kita juga memberi penyelesaian kepada orang yang melihat kelemahan
dalam pembangkang dan orang itu sebenarnya mampu memberi penyelesaian,
dan orang itu adalah Mandeep," ujarnya lagi.
Dalam artikel Mandeep yang diterbitkan Rabu lalu, beliau membidas
pembangkang yang gagal bersatu dan hala tuju kepimpinan yang 'kabur'.
Malah katanya tidak mustahil pembangkang akan kekal sebagai pembangkang
untuk sedekad akan datang atau mungkin lebih jika masih tidak berubah.
Ia berikutan sikap yang diambil pembangkang yang berpecah belah dan saling bercakaran sesama sendiri.
Kata-kata itu menyusul selepas Mandeep menyifatkan penyelesaian atau
pelajaran terbaik bagi PRU14 kepada pembangkang adalah sebagaimana
situasi sebelum 7 Mac 2008, dimana mereka tidak mempunyai sebarang
negeri, GLC atau kuasa.
Untuk rekod pada PRU12 pada 2008 lalu, pembangkang yang dikenali
Pakatan Rakyat (PR) pada ketika itu berjaya menewaskan Barisan Nasional
(BN) sehingga hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima negeri
dikuasai mereka.
Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah pada Sabtu berkata pihaknya
menghormati pandangan anggota sekretariat badan pemantau pilihan raya
itu dan menegaskan tiada keperluan memecat Mandeep, selaras dengan
prinsip mendokong hak kebebasan bersuara.
Malah pandangan Mandeep juga tidak mewakili BERSIH, kata Maria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan