Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: PAS bertegas supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak
melakukan sebarang pindaan dan perubahan terhadap draf asal usul pindaan
Akta 355 Mahkamah Syariah atau Rang Undang-Undang 355 (RUU355) yang
akan dibentangkan di parlimen.
Mengambil contoh hukuman sebatan yang dicadangkan PAS sebanyak 100
kali, Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad menyifatkan ada relevannya
disebalik cadangan pelaksanaan itu. 
"Kita mahukan supaya pindaan itu dikekalkan. Sebagaimana yang dibawakan
Presiden mengenai hukuman 100 sebatan, itu sangat berprinsip kepada
PAS. Jangan BN nak pinda dibawah apa yang telah PAS tetapkan.
"Kita harap supaya pindaan ini dibentangkan, soal kalah undi (di Parlimen) itu soal lain.
"Kalau kerajaan BN nak bentang kita harap akan dibentang, itu sahaja,"
katanya kepada pemberita, selepas hadir merasmikan Mesyuarat Agung
Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa ke-32 di Auditorium Majlis Perbandaran
Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.
Pandangan Idris itu selari dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang bahawa parti akan meneliti terlebih dahulu usul pindaan Akta 355
yang mahu dibawa kerajaan itu sebagaimana yang dituntut partinya.
Tegasnya PAS tidak mahu usul yang mahu dibentang kerajaan bertindih dan berbeza dengan draf yang digariskan parti sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada semalam
mengesahkan kerajaan akan membacakan sendiri usul pindaan Akta 355, bagi
mendapatkan kelulusan Parlimen.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak komited untuk
menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu-gugat kepentingan agama
serta kaum lain di negara ini.
November lalu, Hadi membawa usul di Dewan Rakyat dengan pindaan dari
segi hukuman dengan cadangan menaikkan had hukuman penjara kepada 30
tahun, denda hingga RM100,000 dan maksimum sebatan 100 kali.
Hukuman syariah buat masa ini menetapkan kadar hukuman pnjara tidak
lebih tiga tahun, denda berjumlah RM5,000 dan maksimum enam kali sebatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan