Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Strategi politik sesetengah pihak akan 'mati' jika tidak
melaga-lagakan kerjasama antara PAS dan Umno, tegas Naib Presidennya, Dr
Idris Ahmad
"Mereka akan guna dakwaan ini sampai kiamat. Sudah lapan tahun tuduhan
PAS akan bekerjasama dengan Umno. Sejak 2008 lagi dan mereka tahu kalau
PAS tidak masuk Umno modal mereka akan mati.
"Mereka tidak ada perjuangan dan modal lain selain daripada dakwaan PAS akan sertai Umno," demikian menurutnya.
Reaksi itu timbul selepas diajukan desas-desus Umno akan menyerahkan
beberapa negeri kepada PAS untuk ditadbir selepas pilihan raya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa berkata negeri-negeri
yang diserahkan itu adalah Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan
Terengganu dengan menegaskan kerjasama politik itu penting demi kekuatan
Melayu-Islam.
Bagaimanapun Hadi tampil menafikan dakwaan berkenaan pada semalam,
dengan menegaskan PAS bertanding pada pilihan raya akan datang adalah
untuk mencapai kemenangan.
Sementara itu, Idris yang ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung
Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa ke-32 di Auditorium Majlis Perbandaran
Ampang Jaya (MPAJ) hari ini menyelar bekas rakannya, DAP dengan berkata
parti itu menjadi punca kepada masa depan yang gelap untuk pembangkang.
Ia rentetan kenyataan Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen yang
menggesa kerajaan membatalkan hasrat menghantar 400 guru Islam ke
Sarawak dengan mendakwa ia mengancam keharmonian kepelbagaian kaum di
negeri itu.
"Gelagat yang ditunjuk DAP merupakan masa depan gelap untuk pembangkang.
"Ia memberikan keyakinan lagi pada Umno dan BN dengan tindakan Chong
yang bercakap tentang menyekat kemasukan guru agama Islam Semenanjung ke
Sarawak.
"Yang beri umpan pada Umno dan BN ialah DAP. Itu tindakan tak cerdik," katanya hari ini.
Tegasnya tindakan DAP itu akhirnya akan menguntungkan BN namun memangsakan parti-parti pembangkang yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan