Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Penganalisis politik, Datin Paduka Prof Ramlah Adam menggesa
Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan apa sahaja tindakan dan kata-kata
yang secara tidak langsung akan memburukkan dirinya sendiri.
Mengulas cabaran bekas perdana menteri itu supaya Ahli Parlimen Padang
Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bertanding di Langkawi pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, Ramlah turut menyifatkan ia
sebagai tidak logik.
"Dr Mahathir tidak perlu nak memburukkan dirinya, merendahkan
martabatnya dan mengaku buat benda salah. Beliau memang ahli politik.
Orang sebegini tidak perlu dilayan, sebab beliau sudah tiada isu lagi
hendak cakap.
"Ia tidak logik. Bukan takut Nazri kalah, tetapi ia tidak kena. Bukan
(asal) orang sana, nak bertanding di sana, orang tak kenal.
"Orang mungkin kenal tetapi tiada jasa, agenda di sana. Jadi tidak
perlulah. Ini cabaran orang politik yang bercakap sedap mulut. Kedua,
cabaran orang yang melatah," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir mencabar Nazri bertanding di Langkawi pada pilihan
raya kelak, dengan menyampaikan 'pesan' bahawa ahli parlimen berkenaan
tidak perlu gentar untuk bertanding di mana-mana kawasan sekalipun.
Cabaran Tun M kebudak-budakkan
Terdahulu Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mencabar
Dr Mahathir untuk bertanding di Padang Rengas selepas dimaklumkan
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu akan turun ke
kawasan parlimennya untuk menyertai siri jelajah parti, pada penghujung
bulan ini.
Tambah Nazri jika Dr Mahathir enggan bertanding, cabaran tersebut akan
dikemukakan kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Mahathir yang ditemui selepas ceramah umum Pakatan Harapan (PH) di
Bangi malam tadi mencabar Nazri menentangnya di Langkawi, sekiranya
beliau bertanding.
"Cabaran Tun M itu cabaran budak-budak," demikian menurut Ramlah.
Ramlah, yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia,
Universiti Malaysia Perlis juga mengulas 'pengakuan' Dr Mahathir bahawa
beliau seorang yang pakar dalam membuat pusingan U.
"Itu kan stail Dr Mahathir dari dahulu, apabila orang katakan beliau
seorang diktator, beliau tidak mengaku. Lama-kelamaan baru mengaku
sebagai diktator, dan sebabnya dikatakan sebagai jalan untuk buat
kerja," ujarnya.
Dr Mahathir berkata pusingan U yang sering dilakukannya sebelum ini
atas beberapa sebab yang relevan, antaranya untuk menjatuhkan Umno yang
dipimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau merujuk kepada tindakannya yang mengumumkan keluar daripada Umno pada tahun lalu.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas mengenai tindakannya yang membuat
pusingan U bersabit beberapa isu termasuk kenyataan mengenai Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menggelarkan Dr
Mahathir sebagai jaguh 'pusingan U' kerana sering membuat kenyataan
berdolak dalik termasuk berkaitan BR1M sejak kebelakangan ini.
Menurut Najib, Pengerusi PPBM itu sebelum ini menuduh BR1M sebagai rasuah kerajaan untuk menang pilihan raya umum.
Namun ketika berucap sewaktu majlis pelancaran PPBM pada Januari lalu,
Dr Mahathir membuat pusingan U dengan mengatakan pembangkang akan
meneruskan pemberian BR1M jika menang pilihan raya umum akan datang.
"Hakikatnya beliau membuat pusingan U akhirnya mengaku salah apa yang beliau buat," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan