Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mendominasi
Pakatan Harapan (PH), termasuk dalam soal calon Perdana Menteri jika ia
sah menjadi komponen keempat gabungan berkenaan, kata penganalisis
politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
"Kalau Bersatu (PPBM) sertai PH, saya rasa mungkin Bersatu (PPBM) akan
ambil alih peranan dominan PKR, sebab Tun M ada di situ, Tan Sri
Muhyiddin Yassin di situ akan dijadikan sebagai pemimpin utama, mungkin
(calon) Perdana Menteri.
"Sebelum ini (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari PKR (calon PM), selepas
ini saya rasa Bersatu (PPBM) akan ambil alih peranan tersebut," katanya
kepada Antarapos.
Menurut Azizuddin, PH masih tidak mempunyai calon Perdana Menteri yang
sesuai apabila Anwar yang dinamakan sebagai calon untuk jawatan itu,
hampir mustahil tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum yang
mungkin diadakan dalam masa terdekat.
"Sebenarnya PH tak ada calon yang sesuai...takkan nak beri pada (Datuk
Seri) Azmin. (Datuk Seri) Wan Azizah pula tak sesuai. Anwar yang paling
sesuai tapi tak mungkin Anwar bertanding.
"Jadi saya nampak kemungkinan dengan kemasukan Bersatu, secara
automatik PH ada calon untuk jadi PM. Mungkin Muhyiddin, mungkin Mukhriz
pun boleh.
"Jadi saya rasa PKR mungkin kena beralah," kata beliau.
PKR sebelum ini tetap bertegas mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri
jika pembangkang berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya akan
datang.
Penegasan yang disuarakan Bendahari PKR, Dr Tan Yee Kew itu dipercayai
ekoran pengaruh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat
mula meresapi PH menyebabkan pengaruh Anwar dalam kalangan pemimpin dan
penyokong pembangkang mula merundum.
Tan juga bertegas, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
adalah wajar dan praktikal untuk menjadi Perdana Menteri sementara, bagi
menggantikan Anwar.
Bagaimanapun Azizuddin berpandangan sebaliknya, dimana ujar beliau,
penyertaan PPBM ke dalam PH adalah langkah yang menguntungkan kedua-dua
pihak.
Ujarnya, PH memerlukan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagi
mengembalikan pengaruh serta kekuatan yang 'kurang' selepas ketiadaan
Anwar.
"Jadi saya rasa ini juga kesempatan yang diambil oleh Bersatu untuk
kuatkan diri mereka pada masa yang sama," kata Pensyarah Kanan Pusat
Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian
Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.
Mengulas mengenai jangka hayat kerjasama antara PPBM dengan PH, Azizuddin berkata ia bergantung kepada keputusan pilihan raya.
"Selepas pilihan raya tak tentu lagi (kerjasama bertahan). Bagaimanapun
kalau kita lihat konteks sekarang ini, contohnya Pakatan Rakyat walau
sudah tiada, kerjasama di Selangor berjalan lagi. Ia berbeza di
peringkat nasional dan negeri.
"Ramalan saya, jangka hayatnya hanya untuk satu pilihan raya, selepas
pilihan raya tak tentu lagi. Lain lah kalau mereka berjaya perintah
negara, itu kita tidak pasti," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan