ANTARAPOS.COM
KOTA KINABALU: Perintah berkurung fasa ke-61 di perairan Zon Selamat
Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu
lagi bagi fasa ke-62, bermula esok.
Tempoh perintah berkurung fasa baharu itu dikuatkuasakan dari jam 6 petang hingga 6 pagi bermula esok sehingga 4 April ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata peraturan itu
dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di
tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan,
Sandakan dan Beluran.
Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai di daerah terbabit
diingatkan tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan
perintah berkurung.
"Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit adalah
bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam
keselamatan penyelidik antarabangsa, selain pelancong di pulau
peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari
selatan Filipina.
"Ini kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan
penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf
masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah
rentas sempadan.
"Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah
yang menjadi pengguna perairan dan berada di daratan di kawasan
ESSZONE," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.
Ramli berkata, pelaksanaan perintah berkurung juga memudahkan
penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan
rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan
dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan.
"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah berkenaan
untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat
bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah
berkurung yang mendesak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan