shahbudindotcom
Dalam
satu majlis perasmian Syarahan Tun Abdullah Badawi di Putrajaya hari
ini, Najib Razak mengumumkan pemberian dana kerajaan sebanyak RM5 juta
kepada bekas Perdana Menteri itu.
Pemberian itu diberikan kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Badawi yang baru ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
"Saya
ingin menghargai kesetiaan Pak Lah selama ini yang walau apa pun
berlaku, beliau terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama
saya, pihak kerajaan, UMNO dan Barisan Nasional serta tidak terlintas
untuk mengkhianati parti, jauh sekali keluar meninggalkan UMNO.
"Saya bukan datang dengan tangan kosong. Saya ingin umumkan dana awalan RM5 juta pada legasi Pak Lah.
"Dana akan saya keluarkan tahun ini, kalau tahun hadapan ada rezeki, saya akan tambah lagi," kata Najib dalam ucapannya.
Apakah makna ucapan Najib itu?
Maknanya
Najib memberi sumbangan RM5 juta itu adalah kerana kesetiaan Pak Lah
yang terus menyokong beliau, UMNO serta kerajaan yang dipimpinnya dan
bukan kerana menghargai jasa serta sumbangan bekas Perdana Menteri itu
kepada negara.
Bukankah
sebagai bekas Perdana Menteri, sumbangan yang diberikan atas apa juga
pertubuhan yang dikaitkan dengan beliau, ia seharusnya menjurus kepada
jasa dan peranannya selama ini dan bukan kerana kesetiaan semasa?
Bagaimana
jika sekiranya sama ada sebelum dan ketika ini Pak Lah agak kurang
setia, bersikap kritikal terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara atau
hanya berdiam diri tidak pernah memuji Najib, adakah dana RM5 juta
tetap diberikan juga?
Najib seterusnya mengumumkan RM5 juta itu ialah untuk tahun ini dan jika ada rezeki, tahun depan beliau akan menambahnya lagi.
Sekali lagi, kesetiaan Pak Lah seperti cuba diikat lagi jika masih mahu mengharapkan dana daripada kerajaan untuk tahun depan.
Bukankah perbuatan Najib ini sebenarnya suatu "penghinaan" kepada Pak Lah sebagai bekas Perdana Menteri?
Mengapa pemberian dana kepada seorang bekas Perdana Menteri perlu dikaitkan dengan kesetiaannya?
Tidakkah
ia juga mirip dedak yang biasa Najib taburkan sebelum ini untuk membeli
dan menghargai kesetiaan mereka yang menyokongnya?
Bukankah
sebagai bekas Perdana Menteri, Pak Lah seharusnya berhak mendapat
apa-apa bantuan atau sumbangan daripada kerajaan berkaitan program,
syarahan atau untuk menyebarkan buah fikirannya yang berguna asalkan ia
baik untuk kepentingan negara?
Adakah menyumbang untuk kebaikan negara mesti dikaitkan dengan kesetiaan kepada Perdana Menteri?
Budaya
"cash is king" yang menjadi falsafah perjuangan Najib nampaknya bukan
sekadar digunakan untuk mengikat pemegang jawatan dalam parti dan
kerajaan untuk terus setia kepadanya, malah kepada seorang bekas Perdana
Menteri pun mahu diterapkannya juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan