Kit Siang bertanya sama ada Annuar akan memikul
tanggungjawab sepenuhnya kerana menganjurkan peraduan "Lim Kit Siang
adalah rasis" dan terhadap kesemua artikel yang memenangi anugerah.
PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mahu Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menjawab 3 soalan, sambil tidak menolak kemungkinan beiau akan mengambil tindakan undang-undang kerana melancarkan buku “DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam Di Malaysia”, semalam.
“Saya berhak untuk menggunakan apa sahaja pilihan undang-undang yang ada bagi saya,” kata Ketua DAP di Parlimen itu menerusi kenyataan media dikeluarkan pagi ini.
Dalam kenyaatan itu, beliau bertanya sama ada Annuar akan memikul tanggungjawab undang-undang sepenuhnya kerana menganjurkan peraduan bertajuk “Lim Kit Siang adalah rasis” dan terhadap kesemua artikel yang memenangi anugerah.
“Ini adalah soalan kedua untuk Annuar untuk menjawab, bagaimana ketua penerangan Umno boleh melancarkan buku sedemkian dan sama ada pemimpin-pemimpin Umno mengatasi undang-undang?”
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata beliau belum memperoleh lagi buku itu tetapi menurut Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh, ia melanggar undang-undang kerana ia tidak memaparkan nama penerbit dan pencetak seperti dikehendaki Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Semalam, Annuar mengumumkan 29 peserta yang memenangi RM50,000 dalam pertandingan menulis artikel mengenai Kit Siang. Pertandingan esei itu bertemakan Kit Siang, untuk menjawab soalan “Rasis, anti-Islam, 51 tahun diktator, adakah benar?”
Pertandingan itu merangkumi 4 kategori iaitu penulisan artikel, penulisan blog, video dan infografik, disertai 1,200 peserta.
Antara pemenang pertandingan tersebut termasuklah penulis blog pro-Umno, Raja Petra Kamarudin, dan akhbar parti itu, Utusan Malaysia.
Sebuah video rakaman lama ucapan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa DAP rasis turut tersenarai memenangi pertandingan tersebut.
Bagaimanapun, hadiah utama berjumlah RM10,000 dimenangi kumpulan penulis yang enggan mendedahkan namanya, yang menghantar artikel bertajuk “DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam Di Malaysia”.
Rata-rata pemenang menghantar wakil untuk menerima hadiah masin-masing. Annuar berkata, hadiah adalah sumbangan individu yang hanya mahu dikenali sebagai “hamba Allah”.
Buku itu diberikan secara percuma kepada mereka yang menghadiri majlis penyampaian hadiah peraduan.
Laporan media memetik Annuar berkata, beliau mahupun penganjur pertandingan rencana itu bukan pemilik buku berkenaan.
Dalam kenyataan medianya, tambah Kit Siang, “pencapaian Annuar” itu harus mendapat tempat dalam Guinness Book of Records kerana menganjurkan peraduan yang mana pemenang rasa malu untuk menggelarkan diri mereka dan membolehkan nama mereka disiarkan manakala hadiah kemenangan pula diterima oleh orang lain bagi pihak penulis.
Annuar berkata semalam bahawa wang hadiah yang diberikan kepada 25 pemenang berjumlah RM50,000.
“Soalan terakhir saya kepada Annuar, sama ada beliau bersedia dan boleh menghantar kepada saya kesemua 25 karya yang dikemukakan (oleh penulis),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan