Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah gagal menjawab cabarannya supaya mendedahkan perbelanjaan pilihan raya ketika beliau memegang kuasa.
Katanya, Dr Mahathir tidak perlu berdolak-dalih tetapi jawab sahaja soalannya itu.
Rabu lalu, Dr Mahathir menjawab apa yang disifatkannya sebagai tuduhan Nazri kepadanya "mencuri duit".
"Tuduh lah. Dia boleh buat laporan polis mengenainya. (Tetapi) segala hadiah termasuk 26 kereta dihadiah semasa saya jadi PM, saya bagi balik kepada kerajaan.
"Pergilah ke Langkawi, boleh lihat apa yang saya bagi balik. Nilainya lebih satu milion, atau lebih," kata Dr Mahathir dalam satu ceramah di Kuala Lumpur.
Nazri bagaimanapun berhujah bahawa itu tidak menjawab soalan yang dibangkitkannya.
"Saya tidak pernah bercakap tentang hadiah, saya tidak pernah kata saya mahu buat laporan polis, dan saya tidak pernah memanggilnya pencuri, beliau yang menyebutnya sendiri.
"(Dr Mahathir menjadi perdana menteri) untuk lima pilihan raya ... beberapa bilion (dana pilihan raya) dia kutip, dari siapa, berapa banyak dia belanja, berapa bakinya, di mana ia sekarang?
"Itu sahaja ... Jawab sahaja kelima-lima soalan itu...," kata Nazri sambil menambah bahawa beliau mahu Dr Mahathir menyatakan mengenai semua wang yang dikutipnya itu.
Menteri kebudayaan dan pelancongan itu membuat cabaran tersebut sebagai reaksi balas terhadap tuduhan Dr Mahathir bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa mencuri wang rakyat untuk membiayai kempen pilihan rayanya pada 2013.
Pengkritik Najib mendakwa wang itu telah dipesongkan dari 1MDB.
Bagaimanapun, Najib telah berulang kali menafikan telah menyalahgunakan dana 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan