Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Sungguhpun Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersedia
untuk menjadi 'pemanas kerusi' untuk suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
namun Pakatan Harapan (PH) masih belum mengadakan sebarang perbincangan
mengenai calon perdana menteri sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum
(PRU) ke-14 akan datang.
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata,
langkah untuk menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri adalah
cadangan di peringkat PKR sahaja.
"PH belum pernah berbincang mengenai jawatan tersebut. Namun, PKR
secara jelas menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ada juga parti dalam
PH yang menyokong idea itu.
"Sepertimana yang saya katakan, PH masih belum duduk berbincang
mengenai calon Perdana Menteri," katanya selepas sidang media di Ibu
Pejabat PKR hari ini.
Terdahulu, Wan Azizah yang juga Presiden PKR pernah menyatakan bahawa
beliau tiada masalah menjadi pemegang sementara jawatan perdana menteri
kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah katanya lagi, beliau sedia melepaskan jawatan itu sekiranya
pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang,
untuk memberi laluan kepada Anwar.
Kongres Nasional PKR pada Ahad lalu riuh dengan sokongan padu mahukan
Anwar menjadi Perdana Menteri seterusnya mendesak pembebasan Ketua Umum
PKR itu daripada penjara.
Pakatan pembangkang yang dianggotai empat parti iaitu PKR, DAP, Amanah
dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sehingga kini masih belum
menamakan calon yang bakal diangkat memegang jawatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan