Umno dalam sejarah memberi perlindungan ekonomi, politik dan budaya kepada orang Cina.
SHAH ALAM: DAP punca kerosakan kaum Cina, dakwa Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini.
Beliau menjelaskan masyarakat Cina sebelum ini menerima Umno sebagai tunjang pemerintahan negara, bersama MCA dan parti mewakili kaum lain dalam Perikatan.
“Orang yang paling sayang pada orang Cina adalah Melayu Umno,” kata Annuar semasa berucap di majlis mengumumkan pemenang pertandingan “Kit Siang rasis” di Hotel Blue Wave di sini hari ini.
“Yang menyelamatkan orang Cina adalah Umno. Wujud sekolah Cina atas restu Umno. Lihat di Indonesia dan Thailand…kaum Cina tak boleh pakai nama Cina. Hanya Cina di Malaysia nikmati itu semua,” kata Annuar.
Beliau menambah Umno memberikan perlindungan politik dan ekonomi kepada masyarakat Cina.
“Mereka hebat dan kaya selagi ada Umno,” kata Annuar. “Sebab itu bila bercakap mengenai masa depan Cina, kita jangan apologetik.”
Oleh kerana itu, pemimpin Umno ini menafikan partinya mengamalkan rasisme seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Parti pertama yang menerima sebagai saudara kaum Cina dan India adalah Umno, bukan parti lain, kerana sebagai orang Islam kita diajar begitu: tidak dibenarkan membenci kaum lain, diserukan kepada kedamaian,” katanya.
“Jadi yang sebenarnya merosakkan Cina di Malaysia adalah DAP.”
Annuar memberi amaran kerosakan itu perlu dibendung demi keamanan negara.
“Tanpa Umno sebagai tunjang pemerintahan negara…kalau berlaku huru-hara kaum Cinalah paling teruk terjejas, sebab orang Cina ada bangunan di bandar tetapi orang Melayu ada tanah di kampung,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan