Saya telah menerima beberapa mesej Whatsapp melalui berbagai grup Whatsapp mengenai isi kandungan buku YB Hanna Yeoh, "Becoming Hanna".
Petikan-petikan yang dikemukakan bertujuan untuk membuktikan bahawa YB Hanna dan parti DAP itu sendiri ingin mengkristiankan Malaysia. Pensyarah Melayu yang bernama Dr Kamarul Zaman Yusoff mendakwa tulisan YB Hanna adalah satu pendedahan agenda DAP sebenar!
Amat sedih apabila 'cendekiawan' Melayu berusaha membodohkan Melayu. Ini yang dikatakan "harapkan pegar, pegar makan padi".
Saya yakin sebagai seorang yang berpendidikan, Dr Kamaruzaman mampu membezakan di antara keyakinan keagamaan seseorang ahli dan dasar parti politik yang disertainya. Namun dia sengaja putar-belit fakta sebenar supaya akan tercapai matlamat politik tertentu. Sedih, tetapi itulah hakikatnya.
Hanya yang terlalu bodoh akan mendakwa DAP sebagai parti politik yang beragenda mengkristiankan masyarakat Malaysia berdasarkan buku kisah hidup Hanna Yeoh! Bagaimana mungkin ada yang tak mampu membezakan agama seseorang ahli parti dan dasar parti yang disertainya boleh menjadi pensyarah universiti? Pensyarah dalam bidang politik pula!
Untuk menangkis dakwaan songsang 'profesor kangkung' ini, kita hanya perlu melihat kepada barisan kepimpinan DAP. Adakah semua pimpinan dan ahli DAP beragama Kristian? Sekiranya ya, harap beritahu saya.
YB Gobind Singh Deo ialah Kristian mazhab apa? YB Sivakumar, bekas Speaker Perak ialah seorang yang beragama Hindu. Adakah wujud mazhab Kristian yang berpegang kepada agama Hindu?
Kebodohan yang menakjubkan. Amat malang kebodohan ini ditaja oleh seorang pensyarah Melayu supaya disebarkan di kalangan orang Melayu. Nak jadikan Melayu bodoh, bukan nak tambahkan Melayu dalam kepandaian.
Buku YB Hanna menceritakan mengenai dirinya sendiri, fahamannya, nilai-nili hidupnya, cita-citanya dan liku-liku hidup yang telah dilaluinya. Ia tiada kena-mengena dengan dasar perjuangan politik partinya iaitu DAP.
Biasanya kalau nak faham mengenai dasar perjuangan sebuah parti politik, maka perlembagaan parti tersebut adalah rujukannya. Mengikut profesor ini, untuk mengetahui perjuangan DAP, buku kisah hidup YB Hanna adalah rujukannya! Tidakkah ianya kelakar? Lebih kelakar lagi apabila ada yang percaya dakwaannya.
Islam tidak menghalang orang bukan Islam berpegang teguh dengan agama mereka dan mengamalkan ajaran-ajarannya. Itulah keadilan Islam. Malangnya ada yang beranggapan bahawa bukan Islam yang hidup di 'negara Islam' mesti "mengakui Islam adalah agama sebenar"!
Saya masih ingat lagi semasa bertaraf mahasiswa di universiti, ada 'ustaz-ustaz jadian' yang mendakwa itulah ajaran Islam. Saya tak hairan berdasarkan kupasannya terhadap buku YB Hanna, sekiranya profesor ini beranggapan begitu juga! Sikap dan kefahaman sebegini menjatuhkan imej Islam. Betapa ramai yang menganggap dirinya berkhidmat untuk Islam tetapi sebaliknya meruntuhkan imej Islam.
Melayu seperti 'profesor kangkung' sebegini merosak dan membodohkan Melayu demi kepentingan peribadinya. Mungkin alasan agama digunakannya tetapi amalannya tiada kena mengena dengan akhlak agama Islam. Dia sanggup menipu dan berbohong, sehingga Melayu takut kepada seseorang hanya kerana dia berbeza dan sanggup pula menyokong kepimpinan penyamun dan perompak semata-mata kerana mereka sebangsa! Patutlah bangsa Melayu jauh ketinggalan apabila pensyarah Melayu membodohkan Melayu.
Saya mengenali YB Hanna sebagai seorang wanita yang rendah diri, berkeperibadian tinggi, jujur dan sangat fokus terhadap tanggung-jawabnya sebagai seorang Adun dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor. Amat malang kalau dia didera semata-mata kerana dia beragama Kristian dan difitnah sesuka-hati dan ini semua dilakukan 'atas nama Islam'. Islam sebeginilah yang menghasilkan ISIS dan IS.
Parti Amanah Negara berpegang kepada kefahaman Islam yang berpaksikan Al-Quran, Sunnah Rasulullah s.a.w. serta amalan para sahabat dan tabiin. Islam yang dibawa Nabi s.a.w. adalah penuh dengan kerahmatan dan kasih sayang. Ianya membawa persaudaraan dan keamanan yang berpaksikan keadilan. Islam yang dibawa 'profesor kangkung' ini, bersama pengikut-pengikutnya hanya mampu menyemaikan kebencian dan perbalahan. Ianya songsang dan sesat dan hanya menjanjikan kemusnahan masyarakat dan negara seperti mana yang telah menimpa semua negara umat Islam yang terpengaruh dengannya.
Untuk menghadapi kefahaman Islam yang songsang sebeginilah maka Amanah ditubuhkan.
________________
Khalid Samad ialah Pengarah Komunikasi Amanah dan Ahli Parlimen Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan