Ahli Parlimen Bukit Bendera itu mempersoalkan
tindakan Kementerian Pendidikan bertegas buku teks tempatan tidak
mematuhi piawaian CEFR, sedangkan ia diluluskan kerajaan sendiri tahun
lepas.
PETALING JAYA: Pemimpin DAP, Zairil Khir Johari berkata, Kementerian Pendidikan terus memesongkan isu buku teks bahasa Inggeris “import” dengan memberi alasan palsu.
Ahli Parlimen Bukit Bendera itu merujuk maklum balas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dan Datuk Chong Sin Woon mengenai isu kenapa kerajaan tidak menggunakan buku teks bahasa Inggeris keluaran tempatan.
“Kamalanathan mengeluarkan jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan buku teks tempatan tidak mematuhi CEFR (Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa). Chong pula memberikan jawapan sama di tempat berasingan.
“Mengapa baru sekarang mendakwa buku teks tempatan tidak sejajar CEFR, sedangkan Kementerian Pendidikan sendiri percaya sebaliknya setahun lalu?” soalnya.
Zairil berkata, prakata ditulis Pengarah Bahagian Buku Teks Kementerian Pendidikan, Paridin Jais pada tahun lalu menyatakan secara khusus buku teks keluaran tempatan mematuhi CEFR.
Prakata itu berbunyi: “Menjelang akhir Disember 2016, buku teks bahasa Inggeris untuk darjah 1 dan tingkatan 1 (untuk kegunaan 2017) akan diedarkan ke sekolah di seluruh Malaysia.
“Untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris menggunakan buku teks yang disediakan selaras pematuhan CEFR, Bahagian Buku Teks mengambil inisiatif menerbitkan satu buku panduan untuk membantu guru di dalam kelas.”
Katanya, kementerian juga menerbitkan 2 buku panduan mengajar untuk digunakan bersama buku teks baharu darjah 1 dan tingkatan 1 bagi sesi persekolahan 2017.
“Buku panduan ini menyediakan garis panduan jelas kepada guru untuk merancang dan mengajar menggunakan buku teks tempatan selaras piawaian CEFR.”
Jurucakap Parlimen DAP untuk pendidikan, sains dan teknologi itu berkata, ini cukup membuktikan hujahnya.
“Kementerian sendiri jelas merasakan edisi baharu buku teks tempatan untuk 2017 bukan sahaja cukup baik, tetapi juga mematuhi piawaian CEFR. Kenapa mereka perlu menerbitkan buku panduan untuk membantu guru menggunakan buku itu?”
Sehubungan itu, beliau menuntut kementerian memberi alasan sebenar terhadap tindakan membuat “pusingan U separuh jalan” untuk menggantikan buku teks tempatan dengan yang diimport, di mana kosnya 4 kali lebih tinggi berbanding buku tempatan.
“Mengapa membuang RM7.1 juta yang sudah dibelanjakan untuk edisi baharu buku teks bahasa Inggeris darjah 1 dan tingkatan 1 tahun lepas?
“Dan mengapa mensia-siakan semua usaha menghasilkan buku panduan, jika buku teks itu tidak sesuai dengan piawaian CEFR?” soal Zairil sambil menambah ada banyak perkara yang perlu dijelaskan Kementerian Pendidikan.
‘Pakar bahasa Inggeris’
Pada 23 November lalu, Zairil mempersoalkan tindakan terburu-buru Kementerian Pendidikan memperkenalkan buku teks bahasa Inggeris import dengan berkata, penggunaan buku tersebut harus dipertimbangkan semula.
Buku “Superminds 1” yang diterbitkan Cambridge University Press untuk murid sekolah rendah dan “Pulse 2” terbitan Macmillan untuk pelajar sekolah menengah dipilih kementerian atas nasihat “pakar bahasa Inggeris”, menurut kementerian.
Zairil dilaporkan berkata, penerbit tempatan yang dilantik untuk menyesuaikan buku bagi pihak kementerian, Pan Asia Publications untuk “Superminds 1” dan Desa Fikir untuk “Pulse 2” didakwa sekadar memindahkan semua kandungan buku itu untuk cetakan tempatan.
Beliau juga mendakwa buku itu seolah-olah dihasilkan untuk pelajar di Sepanyol dengan soalan yang meminta terjemahan bahasa Inggeris kepada bahasa Sepanyol.
“Walaupun hanya buku teks asing mematuhi CEFR, kenapa tiada tender diadakan untuk memilih buku terbaik dan paling murah? Sebaliknya, berjuta-juta dibelanjakan ke atas buku teks yang mengandungi rujukan konteks budaya yang asing kepada pelajar kita.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan