MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui parti
pimpinannya masih memerlukan sokongan termasuk daripada ahli Umno kerana
sokongan daripada ahli parti sendiri sahaja belum cukup untuk membuat
perubahan.
"Kita perlu sedar negara kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen memerlukan undi yang banyak untuk mendapatkan kuasa.
"Kita tidak boleh menang dengan ahli-ahli PAS sahaja, tidak boleh
menang dengan penyokong-penyokong PAS sahaja. Kita perlu pada orang lain
mengundi kita.
"Sama ada orang atas pagar, parti lain termasuk orang Umno sendiri
mesti diajak mengundi kita untuk membuat perubahan politik negara kepada
Islam," katanya dipetik Sinar Harian.
Dalam pada itu Hadi berkata, PAS menghadapi cabaran dan gelombang politik yang banyak dalam tempoh 60 tahun.
"Walaupun demikian bukan sahaja parti ini tidak mati tetapi cahayanya tidak padam. Bahkan ahli-ahlinya makin bertambah.
"Untuk makluman semua... tahun ini kita menerima ahli baharu yang sangat mengejutkan. Jumlah 41,000 ahli baharu, tahun ini.
"Oleh kerana itu, jangan bimbang ada mereka yang 'serpih' itu keluar
parti kerana mereka yang masuk parti lebih ramai," katanya.
Beliau berkata, Islam adalah seperti pokok subur dan rimbun, kalau
dipotong dahannya bukan sahaja pokok tidak mati, akan ditumbuh tunas dan
cabang yang banyak.
"Hari ini kita mempunyai 195 kawasan daripada 222 kawasan Parlimen di
seluruh negara bermakna sebahagian besar kawasan Parlimen sudah ada
kawasan PAS," kata ahli Parlimen Marang itu.
Dalam pada itu beliau menambah, politik sangat mempengaruhi ekonomi dan
masyarakat tetapi kebanyakannya hanya memandang ringan soal
berpolitik.
Ujarnya, kesedaran orang Islam berkenaan politik tidak kuat dan tidak
matang, di samping masih banyak kalangan mereka termasuk orang muda
sendiri merasakan politik sesuatu perkara yang remeh.
"Seperti disebut ketua PAS kawasan... pengundi muda lebih 50 peratus
khususnya pengundi orang Islam yang merupakan 67 peratus penduduk
Malaysia. Kaum lain berpecah pecah peratusannya," katanya.
"Mereka tidak sedar bahawa kenaikan harga barang, susahnya kos sara
hidup, masalah jenayah dan masalah salah laku ialah kerana salah
politik, salah mengurus negara tidak berdasarkan kepada dosa dan pahala
diajarkan oleh Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan