DTIK DAILY
Oleh
ABDUL HADI AWANG
FIRMAN Allah:
۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ
لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا
يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧ وَهُوَ ٱلَّذِي
يُنَزِّلُ ٱلۡغَيۡثَ مِنۢ بَعۡدِ مَا قَنَطُواْ وَيَنشُرُ رَحۡمَتَهُۥۚ
وَهُوَ ٱلۡوَلِيُّ ٱلۡحَمِيدُ ٢٨ وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ
وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَآبَّةٖۚ وَهُوَ عَلَىٰ جَمۡعِهِمۡ
إِذَا يَشَآءُ قَدِيرٞ ٢٩ وَمَآ أَصَٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٖ فَبِمَا
كَسَبَتۡ أَيۡدِيكُمۡ وَيَعۡفُواْ عَن كَثِيرٖ ٣٠ الشورى.
“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya
mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar
durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar
yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia
Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat
dengan nyata. (27) Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka
berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata dan
(ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha
Terpuji. (28) Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian
langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari
makhluk-makhluk yang melata dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka
semuanya apabila Dia kehendaki (melakukannya). (29) Dan apa jua yang
menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah
disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah
dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari
dosa-dosa kamu). (30)” (Surah As-Syura: 27-30)
Tajuk kos sara hidup menjadi perbincangan hangat hari ini, khususnya
apabila sangat membebankan kehidupan rakyat sehingga pendapatan tidak
mampu menanggung perbelanjaan hidup seharian.
Kalaulah yang
berpendapatan sederhana yang besar jumlahnya mengeluh, apatah lagi
kalangan berpendapatan rendah yang sangat besar juga jumlahnya,
penganggur dan golongan kurang upaya. Ia tidak mengira yang bergaji atau
bekerja sendiri juga menghadapi bebanan yang sama.
Lebih malang kalangan penduduk bandar dan pinggir bandar. Semakin
besar bandar yang dinaik taraf khususnya apabila disebut bandar raya,
semakin berat bebanannya. Petani dan nelayan pula menghadapi peniaga dan
penyangak yang juga membebankan kos sara hidup bagi mendapat keperluan
yang bukan kerjanya.
Tanpa mengira pelbagai sebab dan punca yang berlaku sehingga
meningkatnya kadar inflasi yang melibatkan apa sahaja barangan,
perkhidmatan, kejatuhan nilai mata wang, pengurusan, kuasa membeli dan
lain-lain atau melibatkan kerajaan, kalangan rakyat dan penggiat
ekonomi, semuanya wajib dilakukan muhasabah yang semestinya ditangani
oleh semua pihak supaya melakukan islah dan perubahan.
Banyak pihak telah mengulas dan melakukan analisis, serta
mengemukakan pandangan yang lebih dipengaruhi oleh teori barat dalam
aspek politik, ekonomi dan kemasyarakatan yang memisahkan semuanya
daripada agama yang menegaskan kewajipan menghitung dosa dan pahala di
sisi Allah dalam semua kegiatan manusia, seperti yang ditegaskan oleh
ajaran Islam, bahawa semua urusan cara hidup ada kaitan dengan agama.
Ayat-ayat Al-Quran yang disebut di atas menegaskan betapa
kebijaksanaan Allah mentadbir manusia, bukan sekadar menurunkan
hidayah-Nya yang dapat dibaca, bahkan manusia juga dikurniakan akal,
pancaindera, ilmu dan kemampuan jasad serta rezeki yang cukup secara
saksama dan adil.
Sebenarnya manusialah melakukan kesalahan dalam urus tadbir kehidupan
mereka, kerana menggunakan akal semata-mata tanpa moral yang luhur
apabila meninggalkan hidayah Allah, khususnya sifat mementingkan diri
sendiri tanpa mempedulikan masyarakat, sifat tamak haloba mengejar
keuntungan tanpa simpati terhadap pengguna, sifat bakhil terhadap orang
lain, sanggup boros dan membazir dalam kalangan orang kaya kerana hidup
bermewah-mewah tanpa peduli kesannya terhadap golongan miskin. Semuanya
memberi kesan negatif kepada ekonomi berkeluarga dan bermasyarakat,
khususnya apabila mengundang kos sara hidup yang tidak saksama dengan
pendapatan.
Para ulama Islam yang tersohor seperti Ibnu Khaldun,
Al-Syatibi dan lain-lain telah menghuraikan aspek tersebut, bukan
sahaja untuk zamannya, bahkan meredah masa hadapan ke zaman kita,
sehingga menangani masyarakat manusia seluruhnya dengan rezeki yang
melimpah ruah tetapi berlaku kesan yang negatif, apabila tanpa mengira
perhitungan iman dan akhlak. Namun, Allah menangguhkan balasan akhirnya
di Hari Akhirat dengan didahulukan fenomena hidup di dunia supaya sedar
dan insaf. Allah berfirman:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ
وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي
عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di
laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia;
(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka
sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah
lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum:
41)
Para ulama telah membahagikan kehidupan manusia dengan pembahagian
mengikut konsep Al-Dharuriyyat, Al-Hajiyyat, Al-Tahsiniyyat dan
Al-Tarafiyyat yang mencakupi aspek kehidupan manusia dan secara khusus
juga sangat mempengaruhi aspek ekonomi dan cara kehidupannya dalam
lapangan individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Al-Dharuriyyat
adalah perkara asas yang perlu dalam keperluan hidup seperti makanan
asasi, pakaian dan rumah kediaman, iaitu sekadar dapat hidup walaupun
tanpa kesenangan. Keperluan makanan sekadar mengisi perut untuk
meneruskan kehidupan, pakaiannya pula sekadar menahan badan daripada
udara dan cuaca yang menganggu kesihatan dan menjaga maruah dengan
menutup aurat.
Kediaman yang cukup bagi tempat menetap dan beristirehat
untuk diri dan keluarga, walaupun tanpa punya kenderaan sendiri kerana
sudah ada kemudahan pengangkutan kegunaan umum.
Al-Hajiyyat adalah penambah baikan yang diperlukan bagi memberi
keselesaan sekadar yang cukup, seperti keperluan perasa gula dan garam,
manis dan pedas kepada makanan. Pakaian tambahan dan mengikut musim
cuacanya, ada kemudahan bekalan air, elektrik dan ada kenderaan dan
lain-lain sekadar yang dihajati.
Al-Tahsiniyyat adalah penambah hiasan supaya lebih menarik dan
menghiaskan dalam semua keperluan di atas, seperti memperbagaikan
makanan, pakaian dan menghias rumah dan halamannya.
Al-Tarafiyyat adalah kemewahan yang melampaui batas, seperti makanan
dan pinggan mangkuk termahal yang diimport, kediaman istana dan mahligai
yang besar dan lebih daripada satu, ada yang berpaip airkan emas,
kenderaan paling mahal dan jumlah yang banyak melampau, sehinggalah
mengimport pemain bola sepak dari luar negara dengan kos berjuta-juta
dalam kegiatan sukan. Aspek ini kurang disebut kerana melibatkan
segelintir golongan atasan yang berkuasa dan berpengaruh.
Allah menunjukkan konsep kesederhanaan hidup dalam diri, keluarga dan negara dengan firman-Nya:
وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً
إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا
مَّحۡسُورًا ٢٩ إِنَّ رَبَّكَ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ
وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا ٣٠ الإسراء
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu
(bakhil) dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan
sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan
keadaan yang tercela serta kering keputusan. (29) Sesungguhnya Tuhanmu
lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut
undang-undang peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut
yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha mendalam pengetahuan-Nya, lagi
Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (30)” Surah Al-Isra’: 29-30)
Apa
yang menjadi masalah apabila manusia sendiri merungkai tertibnya,
sehingga perkara Al-Hajiyyat dan Al-Tarafiyyat sudah diangkat menjadi
Al-Dharuriyyat, menyebabkan golongan yang mengejar keuntungan yang besar
banyak mengeluarkannya, dan mengurangkan pengeluaran Daruriyat sehingga
terpaksa diimport dari luar negara, khususnya melibatkan makanan asasi.
Di samping itu, sumber dalam negara sendiri pula di eksport ke luar
negara dan tidak diurus dengan baik, kemudian mengimportnya semula dan
dikebas dengan mengenakan cukai oleh kerajaan apabila menangani krisis
kewangan, sehingga disalahlakukan oleh para peniaga kerana sifat tamak
haloba. Daripada pihak yang pertama sehingga yang menjadi orang tengah
memaksa penjual runcit menaikkan harga barang.
Tanggungjawab memperbaiki sikap perangai manusia dan peranan politik
yang mentadbir serta penggiat ekonomi sangat mempengaruhi pengeluaran
dan pasaran.
Ibnu Khaldun pernah menyebut apabila pihak pemerintah dan kroni
terlibat dalam banyak perniagaan akan merosakkan perjalanan ekonomi dan
kehidupan rakyat, sehingga sekarang ada yang memiliki bot laut dalam dan
pekerja asing yang mengacau nelayan miskin di pesisir pantai.
Kerajaan boleh mengendalikan sumber Daruriyyat dalam perkara yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W.
الناس شركاء في ثلاثة: الماء والنار والكلأ
“Manusia itu bersama dalam tiga keperluan asas: air, api dan rumput (padang ragut).”
Hadis ini disebut oleh para ulama Siyasah Syariyyah berkait dengan
sebab, realiti dan situasi mengikut zaman. Zaman terkini sudah berubah
kepada keperluan asas makanan, kediaman, pendidikan, kesihatan,
perhubungan dan lain-lain.
Ini menunjukkan bahawa teori penswastaan yang dipraktikkan oleh
pemimpin sudah usang bagi meringankan bebanan kerajaan, apatah lagi
dimonopoli oleh kroni politik yang boleh menjadi sebab yang mempengaruhi
perkembangan negatif terhadap ekonomi seperti kadar inflasi yang
meningkatkan harga barangan dan nilai matawang. Maka kerajaan sekarang
perlu membuat kajian semula terhadap kesilapan yang lalu, kerana kembali
kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.
Islam juga memasukkan aspek rohani dalam mengawal dan menangani
kemampuan yang berbeza dalam masyarakat dengan mewujudkan masyarakat
yang bertimbang rasa dan bertolong-menolong, berpandukan firman Allah:
أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ
نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ
وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم
بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢
وَلَوۡلَآ أَن يَكُونَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ لَّجَعَلۡنَا لِمَن
يَكۡفُرُ بِٱلرَّحۡمَٰنِ لِبُيُوتِهِمۡ سُقُفٗا مِّن فِضَّةٖ وَمَعَارِجَ
عَلَيۡهَا يَظۡهَرُونَ ٣٣ وَلِبُيُوتِهِمۡ أَبۡوَٰبٗا وَسُرُرًا عَلَيۡهَا
يَتَّكُِٔونَ ٣٤ وَزُخۡرُفٗاۚ وَإِن كُلُّ ذَٰلِكَ لَمَّا مَتَٰعُ
ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَٱلۡأٓخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلۡمُتَّقِينَ ٣٥
وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُۥ شَيۡطَٰنٗا فَهُوَ
لَهُۥ قَرِينٞ ٣٦ الزخرف
“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka
berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad S.A.W): Kami
membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam
kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya
miskin menderita) dan Kami juga telah menjadikan darjat setengah mereka
tertinggi daripada darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya
sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan
kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat
Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik
daripada kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (32)
Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam
kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar
kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak
dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),
(33) Dan juga pintu-pintu rumah mereka (dari perak juga) dan
kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (dari perak
juga), (34) Serta berbagai barang perhiasan (keemasan) dan (ingatlah),
segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup
di dunia dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu
adalah khas bagi orang-orang yang bertakwa. (35). Dan sesiapa yang tidak
mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha
Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan
menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak
renggang daripadanya.dengan pendapatan). (36)” (Surah Az-Zukhruf: 32-36)
Di antara perangai syaitan itu adalah membazir dalam penggunaan dan
perbelanjaan yang boleh mempengaruhi pengeluaran yang tidak seimbang
dengan pendapatan golongan sederhana dan rendah yang merupakan paling
ramai jumlahnya dalam masyarakat.
Rasulullah S.A.W. juga mengajar akhlak bersimpati dalam kalangan peniaga yang menjual dan pengguna yang membelinya:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى) صحيح البخاري(
“Allah
mengurniakan rahmat kepada seorang yang bersikap mudah dan
bertimbangrasa apabila menjual, membeli dan mengendalikan tuntutan”
(Sahih Bukhari)
Akhlak bertimbang rasa daripada semua pihak berkonsepkan persaudaraan
kemanusiaan sangat penting kerana melahirkan simpati yang boleh
mewujudkan kesimbangan yang adil di antara pendapatan, keperluan dan
pengurusan. Seperti pendapatan, gaji dan upah yang mencukupi sara hidup
dan kawalan terhadap kegiatan ekonomi seimbang seluruhnya.
Pihak kerajaan hendaklah campur tangan apabila wujudnya masalah
rakyat yang mengganggu kehidupan mereka mengikut nas hukum syariat atau
Siyasah Syariayah atau Maqasid Syariah.
Apabila berlakunya inflasi pada zaman Rasulullah S.A.W. dan ada permintaan supaya menghadkan harga barangan:
غلا السعر على عهد النبي صلى الله عليه
وسلم. فقالوا يا رسول الله! سعر لنا فقال (إن الله هو المسعرالقابض الباسط
الرزاق، وإنى لارجو أن القى ربى وليس أحد منكم يطلبني بمظلمة في دم ولا
مال). (روه الخمسة إلا النسائي وقال الترمذي هذا حديث حسن صحيح)
“Telah berlaku kenaikan harga barangan pada zaman Rasulullah S.A.W,
lalu mereka mengadu: Wahai Rasulullah! Tetapkan harga barangan. Sabda
Rasulullah S.A.W: Allah yang menentukan rezeki, sama ada melimpah rezeki
dan mengurangkannya. Dia Maha melimpah rezekinya. Aku mengharapkan
bertemu Allah (di Akhirat nanti) tidak siapa yang menuntut terhadapku
kerana menzalimi darah dan hartanya).”
Para ulama menegaskan bahawa hadis ini tidak mahu menghadkan harga
barangan kerana dalam keadaan masyarakat yang sangat berakhlak. Apabila
berlakunya keadaan masyarakat yang tidak berakhlak, maka kerajaan
sendiri hendaklah mengambil tindakan yang bijaksana membetulkan keadaan
berpandukan kaedah Siyasah Syariah berkonsepkan Maqasid Syariah dalam
menentukan maslahah oleh kerajaan termasuk dalam perkara yang tidak
dinaskan halal dan haramnya oleh Al-Quran dan Hadis:
عن عثمانَ رضِيَ اللهُ عنه قال: إنَّ اللهَ يزعُ بالسلطانِ ما لا يزعُ بالقرآن
“Sesungguhnya Allah mengizinkan tindakan oleh pihak yang berkuasa dalam perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran”
Juga berpandukan kaedah:
تصرف الإمام منوط بالمصلحة
“Tindakan imam terhadap rakyatnya harus dihubungkan dengan kemaslahatan.”
Islam berbeza dengan teori Liberal Kapitalisma yang membebaskan
kegiatan individu sehingga mengganggu kepentingan masyarakat umum. Islam
juga berbeza dengan teori sosialisma dan Komunisma yang menganggu
kebebasan individu, kononnya demi masyarakat umum. Islam berbeza dengan
semua teori yang lahir daripada pragmatisma dan sekularisma yang
memisahkan agama daripada urusan kehidupan manusia.
Islam tidak menghalang sesorang mengumpul kekayaan tetapi diwajibkan
dengan cara yang halal dan bermoral luhur, namun diwajibkan juga
menunaikan hak masyarakat dengan menunaikan zakat dan diwajibkan
aktiviti-aktiviti lain yang mengambil harta, cara mengurus dan
perbelanjaannya ada kaitan dengan akhlak serta perhitungan dosa dan
pahala.
Maka semua langkah yang merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan
alam sekitar diharamkan. Bukan sahaja haram zat barangan, bahkan
termasuk juga pengurusannya. Bukan sahaja diwajibkan reda meredai dalam
muamalat urus niaga dan lain-lain, bahkan diharamkan juga monopoli yang
menyusahkan masyarakat seperti juga diharamkan riba, menipu, rasuah dan
semua perkara yang membawa mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat
umum.
Imam Al Ghazali menegaskan:
الدين أس والسلطان حارس وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع
“Agama adalah asas dan pemerintah adalah pengawas. Apa-apa yang tiada
asasnya menjadi runtuh dan apa-apa yang tiada pengawasnya menjadi
hilang atau terbiar.”
Ini menunjukkan bahawa menegakkan kebajikan dan mencegah kemungkaran
bukan sahaja menjadi kewajipan individu, bahkan diwajibkan juga
menegakkan kerajaan yang melaksanakan kebajikan dan mencegah kemungkaran
dalam semua kelakuan bermasyarakat termasuk gangguan kos sara hidup
yang menjadi masalah bersama dan jangan hanya menjaga segelintir manusia
demi kepentingan tertentu. Allah menegaskan dalam firman-Nya:
كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ
ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا
نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ
شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧ الحشر
“Supaya harta (hasil negara) itu tidak hanya beredar di antara
orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa
oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan
apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya
dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab
seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah
Al-Hasyr: 7)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Tiada ulasan:
Catat Ulasan