KOTA BHARU: Bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar
Musa melahirkan rasa lega apabila pihak pendakwa raya memutuskan untuk
tidak mendakwa beliau dalam isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan.
Katanya, beliau percaya isu tersebut telah dipolemikkan bermula dengan
personaliti tertentu yang telah membuat tuduhan terhadapnya.
Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh isu tersebut beliau telah
mengambil pendekatan sederhana dengan tidak banyak mengeluarkan
kenyataan dan menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.
“Yang pertama saya bersyukur apabila pihak SPRM sendiri mengeluarkan
kenyataan bahawa saya tidak didakwa. SPRM telah membuat tugasan dalam
masa yang cepat dan cekap.
“Sekarang lebih baik kita pandang ke hadapan dan saya juga tidak mahu
memanjangkan lagi isu ini. Saya juga telah memaafkan mereka yang
tersalah cakap dan membuat kenyataan menuduh saya dalam isu ini,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian
Alatan dan Kelengkapan Sekolah di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan
(YKK) di sini hari ini.
Semalam pihak pendakwa raya telah memutuskan untuk tidak mendakwa
Annuar berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan dari
Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM), Datuk Seri Azam Baki
dilaporkan berkata bahawa pihak pendakwa raya telah meneliti kertas
siasatan isu terbabit sebelum keputusan itu dibuat.
Kata Azam, segala keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwa Annuar.
Pada Januari lalu, Annuar dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi Mara
dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd. (PMB) bagi memberi laluan kepada
proses siasatan termasuk dalam isu penajaan PMB serta Unikl untuk
pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).
Selepas itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilapor memberikan
segala maklumat bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan
penyelewengan dan salah guna kuasa sebagai Pengerusi Mara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan