Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Penglibatan peguam hak asasi manusia Amerika Syarikat (AS)
Kimberley Motley dalam mendesak pembebasan Ketua Umum Pakatan Harapan
(PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu bentuk cubaan campur
tangan sistem perundangan Malaysia.
Pensyarah Kanan Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr
Salawati Mat Basir berkata, pertikaian berhubung isu berkenaan juga
dianggap telah menghina dan melangkaui keputusan yang telah diputuskan
mahkamah.
"Saya melihatnya sebagai campur tangan dalam isu perundangan negara
sebab kita apa pun sudah ikut lunas-lunas yang ada. Ikut perundangan dan
perintah mahkamah yang telah dikeluarkan.
"Kalau yang membuat rayuan itu peguam tempatan saya faham. Ini peguam
luar dan kemudian nak dia (Anwar Ibrahim) bebas, siapa dia sebenarnya?
Dia tiada hak dan tidak beramal pun di Malaysia.
"Ini jelas menghina sebenarnya kepada keputusan mahkamah yang telah
dibuat kemudian cuba mencampuri urusan perundangan negara dan tidak
sensitif dengan kedaulatan negara," katanya ketika dihubungi Antarapos
hari ini.
Mengulas berkenaan dakwaan bahawa Anwar merupakan 'tahanan politik', Salawati bagaimanapun menyangkal perkara berkenaan.
Jelasnya pada Februari 2015 lepas, ketua pembangkang itu dijatuhkan
pertuduhan atas kesalahan meliwat yang mana jelas tidak wujud sebarang
konspirasi politik seperti didakwa.
"Kita tengok adakah selama ini Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa atas
kesalahan politiknya? Tidak, dia didakwa atas kesalahan liwat. Jadi
keputusan yang dibuat itupun kerana kesalahannya meliwat bukan kesalahan
politik dia. Walaupun ada pihak yang cuba kaitkannya daripada insiden
bermulanya dia dibuang daripada kerajaan Malaysia pada tahun 1998.
"Jadi pada saya hanya kerana mereka suka kepada Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan membela pembangkang ianya tidak bermakna mereka harus campur
tangan dan 'mengarahkan' kerajaan dan badan perundangan kita untuk buat
ikut keadaan yang mereka mahu," tambahnya.
Motley yang mewakili Anwar secara pro bono sejak 7 September lalu,
mempertikaikan halangan terhadap beliau untuk bertemu dengan anak
guamnya selain menyifatkan halangan itu sebagai tidak wajar.
Peguam yang berpengkalan di AS itu turut mengkritik Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana menghalang beliau melawat
Anwar di Penjara Sungai Buloh.
Beliau bersama Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengeluarkan
kenyataan menggesa Putrajaya mengkaji pembebasan segera Anwar.
Usaha mendesak pembebasan Anwar tanpa syarat disuarakan sekali lagi turut dikritik pelbagai pihak.
Termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang
membidas Motley kurang ajar, sombong dan bongkak kerana mengkritik
peraturan penjara di Malaysia.
Anwar, 70, dijatuhkan hukuman lima tahun penjara kerana meliwat Mohd
Saiful Bukhari, 30, di kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada
26 Jun 2008.
Beliau yang sedang menjalani hukumannya di Penjara Sungai Buloh
dijangka dibebaskan pertengahan tahun depan atas dasar berkelakuan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan