PETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat McDonald's Malaysia terhadap lebih 20 individu dan organisasi susulan tohmahan pihak berkenaan kononnya syarikat makanan segera itu menyalurkan dana kepada Israel dan mengajak orang ramai memboikotnya.
Pengarah Urusan dan Pemilik Saham Tempatan Gerbang Alaf Restaurant Sdn
Bhd, Azmir Jaafar, berkata laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi dan
laporan sama turut dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM), semalam.
Katanya, beliau menyerahkan pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan sebelum
tindakan saman diambil terhadap mereka.
"Salah satu tohmahan yang tidak benar dan fitnah, sumbangan McDonald's
Amerika Syarikat kepada Jewish United Fund (JUF) melalui program
pemberian sepadan.
"Di Malaysia, kami tidak terbabit dengan program berkenaan sebaliknya hanya membayar royalti kepada McDonald's Corporation.
"Justeru, kami menubuhkan satu pasukan peguam penasihat luar untuk
membantu dan memastikan hak dan kepentingan syarikat serta lebih 12,000
pekerja dilindungi," katanya pada sidang media, di Pejabat McDonald's
Malaysia, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan
Kedutaannya di Tel Aviv akan dipindahkan ke Baitulmaqdis sebagai langkah
mengiktiraf kota suci itu sebagai milik Israel.
Tindakan itu mencetuskan protes besar-besaran di seluruh dunia, termasuk di sini, dan antaranya memboikot McDonald's Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Azmir berkata, JUF hanya salah
satu daripada banyak badan di AS yang berhak untuk menerima sumbangan
derma di bawah program pemberian sepadan, namun ia tidak terpakai di
Malaysia.
"Ini kerana JUF beroperasi bagi tujuan kebajikan di bawah landasan
undang-undang Amerika Syarikat yang berkaitan iaitu Seksyen 501(c)(3)
Undang-undang Percukaian Amerika Syarikat.
"Sepanjang 2014, lebih 2,000 sumbangan derma pekerja pelbagai badan
kebajikan yang dipadankan oleh McDonald's Amerika Syarikat di bawah
program terbabit.
"Daripada jumlah itu hanya sebilangan kecil iaitu tiga saja derma
pekerja kepada JUF. Badan kebajikan Islam turut menerima sumbangan
melalui kaedah yang sama," katanya.
Beliau turut menyangkal dakwaan McDonald's Amerika Syarikat mengambil
pendirian berkaitan sebarang konflik politik mahupun keagamaan yang
berlangsung.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh layari laman sesawang
McDonald's Malaysia di pautan
www.mcdonalds.com.my/company/news/mengenali-mcdonalds-malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan