HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Februari 2018

300 terkandas di Hentian Duta kerana bas cuba elak SPAD

 
Pemeriksaan Ops Serkap malam tadi mendapati kira-kira 10 bas tidak tiba mungkin kerana ingin mengelak pemeriksaan SPAD.


ps-serkap

KUALA LUMPUR: Lebih 300 penumpang bas yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Tahun Baharu Cina terkandas beberapa jam malam tadi apabila bas yang ingin mereka naiki tidak muncul di Hentian Duta di sini seperti yang dijadualkan.

Ini dipercayai gara-gara pemandunya cuba mengelak daripada diperiksa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata pemeriksaan Ops Serkap mendapati kira-kira 10 bas tidak tiba pada waktu yang ditetapkan sejak 8.00 malam.

“Mereka mungkin ingin mengelak daripada diperiksa SPAD kerana dipercayai tidak mempunyai Lesen Perubahan Sementara (LPS) atau kesalahan lain,” katanya pada sidang media mengenai operasi itu di hentian berkenaan.

Che Hasni berkata Ops Serkap dari 9 hingga 25 Februari itu dilancarkan di semua terminal bas bagi memastikan keselamatan penumpang bas ekspres.

Katanya, setakat ini, SPAD mengeluarkan 146 saman bagi pelbagai kesalahan, selain menyita 5 kenderaan, termasuk bas dan teksi.

Ketika dihubungi kemudian, Che Hasni berkata 6 bas muncul selepas 11.00 malam.

Pembantu di sebuah klinik pergigian di Jinjang, Suffi Liyana Subian, 24, berkata bas yang dijadual tiba pada 8.30 malam tidak muncul untuk membawanya pulang ke Sungai Petani, Kedah.

Penumpang itu berkata beliau membeli tiket bas berkenaan secara dalam talian 2 hari lepas pada harga RM60 dan ini pertama kali beliau mengalami kejadian sedemikian.

Tiada ulasan: