Ibunya yang sedang terseksa itu menuduh pihak polis tidak bertindak, malah mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil langsung kenyataan ahli keluarganya bagi membantu siasatan.
"Polis tidak mengambil sebarang tindakan. Kami masih menunggu keadilan.
"Polis juga tidak datang ke rumah saya. Kami perlu menghubungi mereka untuk meminta sebarang maklumat terkini," kata ibu remaja malang, S Kasthuribai, kepada The Malaysian Insight.
Mangsa, S Sathiswaran meninggal dunia pada 15 Januari akibat kecederaan parah di kepala akibat dihempap kerusi yang dicampak dari tingkat 21 Blok 102, PPR Seri Pantai di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Kasthuri berkata jika tiada tindakan daripada pihak polis, keluarganya akan terpaksa mengupah peguam untuk meneruskan tindakan undang-undang.
"Kami sedang mempertimbangkan untuk mengupah peguam. Anak saya dirampas daripada saya. Ia tidak adil, anak saya akan dibela."
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, bagaimanapun berkata tiada bukti yang sepadan bagi ujian DNA ke atas kerusi dan siasatan masih berjalan.
"Masih tiada perkembangan baru," katanya kepada The Malaysian Insight.
Walaupun kes itu masih disiasat, flat kos rendah di kawasan itu mengalami perubahan drastik dalam beberapa minggu lalu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan jaring keselamatan bagi melindungi laluan pejalan kaki di flat dan mengupah tukang cuci baru.
Pihak majlis juga membersihkan tempat itu selepas insiden berkenaan kerana ramai orang penting datang untuk memberi penghormatan kepada si mati, kata penghuni di situ.
Bagaimanapun, mengikut Kasthuri langkah itu agak terlambat.
"Apabila ada kematian, mereka perlu mengambil tindakan seperti ini, masalah ini sudah berlaku sejak sekian lama. Ini sangat kejam sehingga saya terpaksa menadah otak anak saya di atas lantai," katanya.
Makcik mangsa, S Vijayalaxhmi, tinggal di flat yang sama, mendakwa insiden ini bukan kejadian terpencil kerana peti sejuk dan set televisyen juga pernah dibuang sebelum ini.

Lidiawati, pemilik restoran di luar rumah pangsa, juga bersetuju masalah sampah sudah sekian lama berlaku tanpa penguatkuasaan sewajarnya daripada DBKL sebelum ini.
Beliau berpendapat majoriti penduduk di situ sebelum ini tinggal di kawasan setinggan dan membawa mentalitinya apabila berpindah.
"Ini adalah masalah komuniti masa ini. Orang ramai cenderung mempunyai tabiat setinggan lama yang sukar diubah," katanya.
Sementara itu pengerusi persatuan penduduk, Tusiah Sino berkata flat tersebut mengalami banyak perubahan dalam beberapa minggu sahaja dengan penduduk terkejut dengan kejadian itu.
"Ada perubahan jelas pada penghuninya. Mereka tidak membuang ke bawah barang-barang. Sampah mungkin, tetapi bukan objek besar," katanya.
Tusiah menambah persatuan itu sudah menasihatkan penduduk tetapi terpulang kepada DBKL untuk menguatkuasakannya.
"Persatuan penduduk sudah menasihatkan dan menetapkan peraturan tegas mengenai pembuangan sampah tetapi saya serahkan kepada pihak berkuasa. Kita perlu menasihati mereka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Bandar DBKL Wan Mohammad Ghazali berkata, pihak majlis memperkenalkan jaring keselamatan secara berperingkat, bermula dengan PPR Seri Pantai.
"Kami melakukannya mengikut fasa. PPR ini yang pertama dan diikuti dengan yang lain," katanya kepada The Malaysian Insight.
Mengenai penguatkuasaan, beliau berkata DBKL akan melantik lebih ramai pegawai untuk memantau langkah keselamatan dan mengeluarkan saman kepada mereka yang melanggar peraturan.
"Kami mengarahkan lebih ramai pegawai untuk mengendalikannya. Kami juga bekerjasama rapat dengan persatuan penduduk.
"Akan ada penguatkuasaan lebih ketat pada masa akan datang apabila ia mengenai membuang sampah dan keseluruhan kebersihan PPR," kata Ghazali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan