KUALA LUMPUR: Hujan yang turun menghalang penampakan gerhana bulan
penuh "Super Blue Blood Moon" iaitu fenomena yang hanya akan berlaku
selepas 152 tahun.
Oleh kerana hujan yang membasahi bumi sejak petang, beratus-ratus
orang yang berkumpul di Planetarium Negara di sini tidak berkesempatan
untuk melihat gerhana bulan tersebut kerana kelompok awan menutupi
bulan.
Bagaimanapun, Planetarium Negara tidak menghampakan pelawat itu
apabila menyiarkan sesi secara langsung fenomena itu dari Balai
Pencerapan Griffith, Nasa selama kira-kira 30 minit selain menyiarkan
penampakan gerhana itu dari Balai Cerap Kebangsaan Langkawi untuk mereka
melihat fenomena tersebut.
Antara mereka yang mengunjungi Planetarium Negara untuk melihat gerhana bulan malam tadi ialah Balqis Mohamad, 28 tahun.
"Saya agak kecewa kerana tida dapat melihat fenomena itu disebabkan
hujan tetapi peluang itu ialah sesuatu yang tidak harus dilepaskan
kerana ia merupakan fenomena yang jarang-jarang berlaku, " kata Balqis
yang datang seorang diri ke Planetarium Negara.
Kali terakhir fenomena Super Blue Blood Moon berlaku ialah pada 31
Mac, 1866 iaitu merupakan gabungan "Supermoon", "Bluemoon" dan
"Bloodmoon".
Supermoon terjadi apabila kedudukan bulan berada paling hampir dengan
bumi, menyebabkan ia 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah.
Gerhana bulan penuh yang dikenali blood moon befrlaku apabila matahari,
bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan bulan
merentasi bayangan umbra bumi.
Atmosfera kemudian menyaring sebahagian besar cahaya warna biru dengan itu menyebabkan warna kemerahan pada bulan.
Di Malaysia, fasa gerhana bulan bermula pada 7.48 malam sehingga 11.11
malam apabila gerhana bulan penuh bermula pada 8.51 malam sebelum
mencapai fasa maksimum pada 9.29 malam dan berakhir pada 10.07 malam.
Di PUTRAJAYA, ratusan penduduk serta jemaah berkumpul di pekarangan
Masjid Putra bagi menyaksikan kejadian cakerawala itu melalui cerapan
menggunakan enam teleskop berkomputer yang disediakan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan
Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Bagaimanapun, cuaca hujan sejak lewat petang menyebabkan fenomena
bulan dikenali Super Blue Blood Moon iaitu berlakunya 'supermoon, super
blue blood moon atau bulan biru dan gerhana bulan' tidak kelihatan
sehingga melepasi waktu kemuncak 9.29 malam.
Penolong Pengarah Unit Falak Jakim, Shahril Azwan Hussin berkata
sepatutnya fasa gerhana bermula pada 6.51 petang iaitu bulan memasuki
bayang umbra diikuti pada jam 7.48 malam gerhana separa bermula.
"Namun, awan tebal yang meliputi keadaan bulan menyukarkan penduduk di
sini melihat fenomena terbabit," katanya dan menambah gerhana dijangka
berakhir pada pukul 12.08 tengah malam.
Terdahulu, Masjid Putra mengadakan solat sunat gerhana atau khusuf
selepas solat Isyak yang sebelumnya didahului dengan ceramah yang
disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad
al-Bakri.
Majlis diakhiri dengan bacaan Khutbah Khas berkenaan gerhana bulan
yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra Datuk Abd Manaf Mat.
Di KELANTAN, 40 anggota Persatuan Astronomi Falak Amatur Kelantan
serta 40 pelajar sekolah menunaikan solat gerhana di Balai Cerap Kota
Bharu di Kampung Kubang Rawa, Salor, di sini.
Setiausaha persatuan itu, Abdullah Hassan berkata tiga teleskop khusus
disediakan bagi mengambil gambar dan memberi peluang kepada orang ramai
melihat sendiri fenomena gerhana.
"Fenomena ini terjadi apabila bulan dikatakan paling dekat dengan
bumi. Bulan dilihat seakan berwarna merah dan 'berdarah' disebabkan oleh
atmosfera bumi," katanya kepada Bernama.
Di TERENGGANU, kira-kira 1,000 orang berkunjung ke Dapo Pata, Pantai
Tok Jembal, Kuala Nerus dan membanjiri kawasan pantai sejak 7 malam bagi
melihat fenomena gerhana itu.
Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menerusi Insititut
Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), yang menganjurkan
program Jom Teropong Bulan, membuka peluang kepada pelajar dan
masyarakat setempat menyaksikan cerapan fenomena gerhana bulan penuh.
Progam mesra komuniti UniSZA itu bertujuan memberi pendedahan tentang
fenomena sains kepada masyarakat sekaligus menarik minat mereka dalam
ilmu sains serta mempraktikal instrumentasi astronomi yang terdapat di
ESERI UniSZA.
Sebanyak enam alatan teleskop dan binokular disediakan kepada
pengunjung yang datang untuk melihat dengan lebih jelas gerhana bulan
penuh, selain taklimat ringkas mengenai gerhana bulan penuh oleh
penyelidik UniSZA serta solat sunat gerhana.
Pensyarah ESERI, Dr Roslan Omar berkata fenomena itu bagaimana pun
hanya dapat disaksikan pengunjung di pantai berkenaan dua kali sepanjang
tempoh gerhana.
"Pengunjung dapat menyaksikan gerhana itu selama dua minit iaitu pada
pukul 8.51 hingga 8.53 malam tadi dan kembali muncul pada saat-saat
gerhana itu berakhir pada kira-kira 10 malam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan