Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Bekas pemimpin PAS seharusnya mengambil pendekatan berjiwa
besar dan bukannya mempertikaikan sebarang keputusan yang dibuat
institusi di Raja di negara ini.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh
berkata, bekas pemimpin PAS itu nampaknya sedang berada dalam keadaan
tertekan apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.
Ujar beliau lagi, ini juga mungkin balasan dan akibat yang diterima
mereka selepas melanggar sumpah bai'ah yang telah dilafazkan ketika
berada di dalam PAS.
"Kenyataan (Mahfuz) itu memberi gambaran bahawa mereka (yang keluar
PAS) sudah berada di zon yang sangat tertekan apabila parti mereka tidak
mendapat sambutan dalam kalangan rakyat dan mereka keluar daripada PAS
beramai-ramai dan Alhamdulillah tidak ada yang mengikut mereka kecuali
jumlah yang sangat sedikit.
"Jadi mungkin mereka dalam situasi yang sangat tertekan sehingga
kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan itu tidak menggambarkan seorang
pemimpin yang berjiwa besar.
"Kenyataan-kenyataan sedemikian menggambarkan macam orang yang merajuk,
orang yang bercakap tanpa matlamat perjuangan yang jelas, apa benda
sahaja pun dia komen, dan bagi saya mereka yang melanggar baiah yang
dibuat di dalam PAS tidak akan selamat di dunia dan akhirat," katanya
ketika dihubungi Antarapos.
Semalam, bekas pemimpin tertinggi PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata
penarikan semula darjah dan bintang kebesaran beberapa pemimpin Pakatan
Harapan (PH) menjadikan anugerah darjah dan bintang kebesaran tidak lagi
bernilai di mata rakyat.
Ini kerana, menurutnya, perkara itu terjadi ketika pemimpin kleptokrat
yang ditolak rakyat masih menyandang anugerah-anugerah dan
gelaran-gelaran tersebut.
Kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena itu merujuk kepada keputusan pihak
istana Kelantan baru-baru ini yang menarik semula darjah dan bintang
kebesaran Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Amanah
Husam Musa , dan Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah,
Menurut Mahfuz lagi, gelaran dan pangkat yang dipegang oleh pemimpin
yang terlibat dalam kleptokrasi akan memberi persepsi yang tidak baik
kepada rakyat.
Jangan pertikai kuasa mutlak Raja
Dalam pada itu Nik Zawawi berkata, ia adalah hak istana untuk menarik
balik darjah kebesaran mereka, dan Mahfuz sebagai seorang pemimpin tidak
sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang seolah-olah
mempertikaikan keputusan tersebut.
"Mana-mana keputusan yang dibuat oleh pihak istana berkenaan dengan
haknya, bintang kebesaran ini adalah milik Duli Yang Maha Mulia Sultan,
jadi apabila Sultan beri darjah kebesaran, maka itu adalah haknya.
"Itu hak Tuanku, jadi kalau Tuanku bagi anugerah sesuatu darjat,
tiba-tiba dia komen tidak bernilai atau apa sahaja, sedangkan dia
terima, jadi ini satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar daripada
mulut seorang yang dianggap pemimpin.
"Kalau dia rasa dia pemimpin yang berjiwa besar, dia tidak boleh keluarkan kenyataan sedemikian," ujarnya lagi.
Minggu lalu, istana Kelantan dilaporkan menarik balik darjah kebesaran
yang dikurniakan ke atas mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir.
Penarikan balik pingat kebesaran Darjah Kebesaran itu dinyatakan pihak
istana melalui sepucuk surat bertarikh 6 Februari lalu dan dihantar ke
rumah Dr Mahathir di Seri Kembangan.
Difahamkan, pingat yang ditarik balik itu ialah Darjah Kerabat (DK)
Al-Yunusi Kelantan yang dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu
Tuanku Ismail Petra dalam satu istiadat di Istana Balai Besar, Kota
Bharu, pada 2002.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V juga dilaporkan menarik balik
darjah kebesaran negeri Kelantan membawa gelaran ‘Datuk' yang
dikurniakan kepada Husam dan Wan Abd Rahim.
Kedua-duanya menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri
Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat petang kelmarin yang memaklumkan
Sultan Muhammad V menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua
(Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat
Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan