Kedua-dua parti itu bersetuju yang PAS dibawah kepimpinan sekarang tidak akan menerima sokongan orang India pada pilihan raya umum akan datang.
“Tidak mungkin pengundi India akan tertarik (untuk sokong PAS),” kata Presiden MIC Dr S.Subramaniam.
“Saya fikir NGO India tahu apa pendirian PAS dan apa yang mereka mahukan. Saya tak fikir banyak NGO India akan sokong parti itu dan agenda mereka,” katanya kepada wartawan di Bagan Dalam selepas melancarkan pusat perkhidmatan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) di Butterworth tengahari tadi.
Hadi dan ahli PAS bertemu dengan lebih 10 NGO India dalam sesi dialog di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas pagi tadi. Lebih kurang 100 orang mewakili pelbagai kumpulan masyarakat India menghadiri majlis itu.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy daripada DAP pula berkata PAS tidak mungkin meraih sokongan masyarakat India selagi mana Hadi menerajui parti Islam itu.
Katanya, PAS tidak menghormati orang India malah penyokong bukan Islam dalam Dewan Perhimpunan Penyokong PAS tidak mempunyai hak mengundi.
“Ini adalah mimpi siang PAS. Ia tak akan berjaya meraih sokongan orang India dahulu dan juga tak akan dapat di masa depan.
“Sekurang-kurangnya dahulu ada orang India yang hormatkan Tok Guru (Nik Aziz Nik Mat). Sekarang bila Hadi berkuasa, mustahil orang India sokong PAS,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan bekas menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS meninggal dunia pada Februari 2015.
Di Pulau Pinang, PAS hanya berjaya menang di satu kerusi negeri- Permatang Pasir- daripada enam kerusi ditandinginya dalam pilihan raya lepas, walaupun ketika itu ia menyertai Pakatan Rakyat.Pakatan itu bubar selepas PAS memutuskan ikatan dengan DAP kerana isu hudud pada 2015.
Sementara itu, Dr Subramaniam berkata peluang MIC yang berkemungkinan besar akan bertanding di kerusi negeri Bagan Dalam dan Prai di Pulau Pinang “kini lebih baik berbanding dahulu”.
Pada PRU2013, MIC yang mewakili Barisan Nasional juga bertanding di dua kerusi itu tetapi kalah kepada DAP.
Di Bagan Dalam, DAP mengalahkan BN dan dua calon bebas untuk menang dengan majoriti 5,161.
Di Prai pula, DAP menang dengan majoriti 7,759 undi menentang BN dan seorang calon bebas.
“Saya fikir peluang kita lebih baik sekarang berbanding dahulu.
“Kami melihat sokongan lebih baik daripada pengundi India terutamanya, dibandingkan sebelum ini. Kami juga lihat sokongan baik daripada orang Melayu. Ada juga sedikit peningkatan daripada orang Cina.
“Kami ada peluang baik di Bagan Dalam dan peluang melawan di Prai,” katanya.
Dr Subramaniam bagaimanapun mengakui masih wujud cabaran untuk MIC di negeri dikawal pembangkang itu.
“Kami sedang berusaha keras di lapangan. Walaupun ada cabaran, kami cuba buat yang terbaik,” katanya.
Pada pilihan raya umum akan datang, BN Pulau Pinang mahu memperkukuhkan barisan pembangkang negeri dengan meraih lebih banyak sokongan bagi memastikan lebih ramai wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri.
BN menerusi parti utamanya, Umno kini hanya memegang 10 daripada 40 kerusi negeri di Pulau Pinang. MIC, MCA dan Gerakan tidak memegang apa-apa kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan