DETIK DAILY
Oleh Mohd Sayuti Omar
BANDARAYA dianggap sebagai suatu kawasan yang menjadi kebanggaan semua
orang. Orang di luar sana (pedalaman) mengira berada di bandaraya
memiliki seribu kemudahan dan kesenangan serta hidup dalam keadaan penuh
berkualiti.
Al maklumlah bandaraya seperti Kuala Lumpur ini yang juga sebagai ibu kota negara yang melambangkan peradaban sesuatu bangsa.
Tanggapan itu silap sama sekali dan bertentangan dengan hakikatnya.
Kerana kekhilafan itu menjadikan bandaraya yang aman dan segala macam
prasarananya moden itu sebenarnya menjadi satu kawasan boleh dianggap
kejam. Kita sudah salah dalam membangunkan bandaraya dan menguruskannya.
Kenapa tidak, segala keharmonian di sini terbunuh tanpa mendapat simpati
manusia dan penghuninya. Nafsu dan kerakusan manusia menafikan segala
apa yang dibayangkan itu.
Trend hari ini sesebuah bandaraya itu dianggap tidak sah kalau ia tidak
sendak dengan apartment dan bangunan tinggi pencakar langit tanpa
meninggalkan seruang petak hijau untuk bernafas.
Kebobrokan pembangunan tidak berhati perut begitu adalah pembunuh keharmonian (kelestarian) hidup manusia.
Pembangunan dan ketamakan manusia akan terus menjalar tanpa mempedulikan
kepada sesiapa. Kedamaian, keindahan keselesaan yang dijanjikan dari
falsafah kewujudan sebuah bandaraya yang dibina dengan peradaban itu,
hanyalah ilusi dan retorik semata-mata.
Demikian juga dengan kami di sekitar Wangsa Melawati ini, khususnya yang
menghuni di taman-taman Wangsa Budi, Wangsa Ceria dan Wangsa Siaga,
serta di Taman Permata dan AU, yang sudah pun menghadapi pelbagai elemen
pembangunan, kini berdepan dengan satu lagi keadaan bakal menyesakkan
nafas apabila terbangunnya pangsapuri tiga blok setinggi 55, 48 dan 46
tingkat bersama 5 unit penthouse yang kesemuanya berjumlah 1,206 unit.
Papan tanda pembangunan projek itu sudah pun dibangunkan. Projek itu
akan dilaksanakan di Lot 21449 di Jalan Wangsa Melawati 1, di mana
kedudukan dan lokasinya di tengah-tengah pusat kekelompokan taman-taman
kediaman kami. Tapak itu dahulunya tapak loji kumbahan yang kini sudah
ditimbus.
Notis makluman pembinaan projek berkenaan sudah dicacak dua tiga hari
lepas. Kehadirannya secara mengejut kerana sebelum ini hanya ada satu
notis sahaja yang memaklumkan pembinaan bangunan di kawasan itu untuk
kegunaan industri. Paling mengejutkan juga tempoh notis untuk membantah
projek itu sangat singkat, tidak sampai sebulan.
Betapa tatkala bangunan itu naik nanti ia menjadi bangunan tertinggi di
kawasan ini. Dengan siapnya bangunan itu ia akan menempati seramai
paling tidak 5,000 penghuni. Kehadiran itu menjadikan kawasan ini padat
dan sendak. Walaupun apartment itu menyiapkan segala kemudahan, parking
dan sebagainya, ia bakal meriuh-randahkan kawasan ini dan merampas
kedamaian penghuni di sini selama ini.
Kedamaian dan keselesaan yang kami kecapi selama ini sejak bertahun
lalu, akan musnah dalam sekali mata sahaja. Dengan gaya hidup orang
Malaysia yang “selfish”, ego, sombong dan menjaga kepentingan diri, ia
membunuh bukan sahaja suasana taman ini berimej kedesaan yang harmoni
dan dibanggakan selama ini, tetapi ia bakal menjadi taman ini satu
kawasan semi elit yang bobrok. Bayangkan selepas ini ratusan kereta
akan keluar masuk pada setiap hari dan kiri kanan jalan dijadikan tempat
parking di persekitaran jalan ke pangsapuri berkenaan.
Landasan pejalan kaki dan taman rekreasi juga akan turut sama terancam
dengan kebisingan dan terganggu dengan pelbagai ragam kenderaan dan
penghuninya yang tidak mudah disiplinkan.
Justeru penduduk di sini seperti mana disebut pada notis di pasang itu
yang memberi peluang untuk penduduk membuat bantahan terhadap projek
itu, hendaknya tidak akan mengabaikan tanggungajwab sebaliknya respon
segera kepada notis berkenaan. Menjadi tanggungjawab semua penduduk di
sekitar kawasan projek itu membuat bantahan kepada pihak berwajib.
Persatuan-persatuan penduduk di taman-taman yang mengelilingi tapak
projek itu perlu nangkit mengemukakan bantahan masing-masing. Jangan
kita berfikir pembangunan itu sebagai sesuatu yang lazim (nature) maka
kita melihatnya begitu sahaja walaupun kedatangannya merampas hak asasi
kita.
Pemimpin tempatan juga termasuk wakil rakyat, parti-parti politik,
badan-badan Ngo perlu berganding bahu ikut sama mengemukakan bantahan
dan memberi pandangan dalam hal ini. Apabila adanya kolaborasi itu pasti
ia akan memberi input baik kepada pihak terlibat dengan kelulusan
projek berkenaan untuk membatalkannya.
Ayuh.. kita semua berpakat menyatakan pendirian dan bantahan kita. Mari
kita memohon dan mendesak, usah ganggu ketenteraman kita di sini dan
golongan kapitalisme perlulah memahami akan nilai sebuah kehidupan yang
damai. Simpatislah sedikit agar kawasan yang dahulunya hak awam itu bagi
kami jadikan ia sebagai kawasan terapi jiwa.
Yang anih ialah sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak
bertanggungjawab mempertimbangkan untuk meluluskan projek berkenaan,
kenapa aparat itu bersedia melayan pembangunan projek berkenaan dengan
memberi peluang kepada orang ramai membuat bantahan terhadapnya? Apakah
DBKL tidak ada panelnya penilai tersendiri untuk membuat penilaian awal
untuk menolak cadangan projek itu awal-awal lagi?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan