SABAK BERNAM – Pembahagian kerusi oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini tidak lebih sebagai polemik politik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sabak Bernam, Rizam Ismail berkata, kedudukan kerusi sama ada Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih memihak kepada DAP serta PKR, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysian (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) berdepan dengan saingan sengit dari calon Barisan Nasional (BN) serta Pas.
“Saya tengok pembahagian ini tidak telus, dan saya lihat mereka ini cuba meyakinkan yang kononnya (Tun) Dr. Mahathir (Mohamad) ini bakal perdana menteri.
“Tujuan PH umumkan Mahathir adalah untuk memecah belahkan khususnya orang Melayu dan juga UMNO,” katanya kepada media di sini semalam.
Menurut Rizam, PPBM akan bertanding di kerusi yang agak sukar untuk menang kerana majoritinya adalah kawasan kubu kuat BN dan Pas.
Katanya yang lebih selamat walaupun mendapat jumlah kerusi lebih kecil daripada PPBM ialah DAP dan PKR.
Sehubungan itu, beliau mencabar PH meletakkan Mahathir bertanding di kerusi Parlimen Seputeh yang disandang sekian lama oleh Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok.
“Kalau benar PH ikhlas nak lantik Mahathir sebagai perdana menteri, mereka mesti meletakkannya di kerusi yang selamat atau boleh menang.
“Saya nampak kerusi Parlimen Seputeh paling selamat untuk Mahathir,” katanya.
Beliau turut yakin akan berlaku perbalahan antara parti komponen PH kerana DUN Sungai Air Tawar yang menjadi kerusi tradisi PKR telah diambil oleh PPBM.
Katanya, ahli dan penyokong PKR sudah bising kerana pucuk pimpinan PH menafikan hak parti itu untuk meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan