KOTA KINABALU: Dua penolong jurutera Jabatan Kereta Api Negeri Sabah
(JKNS) yang ditahan reman sejak 31 Januari lalu untuk membantu siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dibebaskan hari ini.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 dan 38 tahun itu yang direman
berhubung dakwaan perbuatan rasuah dalam projek kereta api di negeri
ini, dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Kedua-dua suspek diarah membayar wang jaminan RM100,000 setiap seorang
tanpa deposit dengan dua penjamin oleh Majistret Stephanie Abbie Sherron
dalam prosiding di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah, di sini.
SPRM diwakili oleh Pegawai Pendakwa, Mohd Faliq Basirudin.
Dua suspek itu antara tujuh individu yang disiasat berhubung kes rasuah
dan penyalahgunaan kuasa JKNS iaitu membabitkan projek yang
dilaksanakan antara tahun 2012 hingga tahun lalu.
Tiga pegawai termasuk Pemangku Timbalan Pengarah merangkap Ketua
Jurutera jabatan itu dan dua kontraktor yang ditahan reman sebelum ini
juga sudah dibebaskan.
SPRM sebelum ini merampas wang tunai kira-kira RM1.6 juta dan
membekukan RM5.3 juta simpanan dalam beberapa akaun membabitkan beberapa
suspek yang disiasat berkaitan kes itu setakat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan