
Pemuda AMANAH Nasional mendesak kerajaan supaya segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat mengenai kehilangan tanah milik Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata demikian ketika ditemui semasa
mengedarkan risalah ‘Tawaran Harapan Anak Muda’ di Pekan Permatang Pauh
semalam.
Jelas beliau lagi terdapat seribu satu macam keraguan apabila Tan
Sri Shahrir Samad mendakwa bahawa tanah-tanah milik Felda tersebut telah
dikembalikan.
“Seharusnya Umno yang mendakwa menjaga kepentingan orang Melayu
mengambil tindakan segera bagi memastikan tanah milik Felda ini tidak
hilang.
“Malah dalam perhimpunan agung Umno yang lalu pun acapkali mereka
melaung-laungkan menjadi parti yang membela hak dan kepentingan orang
Melayu.
“Namun begitu walaupun jelas terserlah sudah ada bukti mengenai
penyelewengan tanah milik Felda tersebut, Umno masih gagal untuk menjaga
kepentingan yang sering mereka perkatakan, ” ujarnya lagi.
Kata Sany lagi, apa yang sedang dipertontonkan oleh pimpinan Umno
termasuklah Presidennya, hanyalah sifat tidak bertanggungjawab mereka
dalam memperjuangkan isu melibatkan kepentingan orang Melayu.
“Kesemua mereka yang terlibat dalam isu skandal tanah tersebut
adalah pimpinan Umno dan Barisan Nasional dan bukannya pimpinan Pakatan
Harapan.
“Generasi peneroka Felda harus melihat perkara ini dengan lebih serius dalam kerangka jangkamasa panjang.
“Mereka yang terlibat harus diheret ke muka pengadilan dan didakwa
dan bukannya hanya setakat reman, bebas dan lepas, ” tegasnya lagi.
Pendedahan yang telah dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi
Ramli menunjukkan geran hak milik kesemua 16 lot tanah Felda yang
didakwa dipindahkan kepada pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd belum
dipindah milik kepada Felda.
Apa yang didedahkan oleh Naib Presiden PKR tersebut juga membuktikan bahawa Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd memiliki satu lot.

Mohd Sany Hamzan
Manakala Synergy Promenade Sdn Bhd pula menjadi pemilik kepada 15
lagi lot tanah yang lain serta masih lagi menjadi hak milik pemaju.
“Tanah yang diambil tanpa pengetahuan Felda ini telah menjadi
polemik yang berpanjangan sehingga menghilangkan kepercayaan rakyat
kepada kerajaan.
“Oleh kerana itu selagi isu ini belum diselesaikan dan menjadi
konflik yang begitu serius, rakyat harus membuat percaturan yang betul
dan cermat.
“Pengurusan, kepimpinan dan pentadbiran yang dipamirkan kini
mendedahkan begitu banyak salah laku serta kelemahan urus tadbir yang
sedang berlaku sehingga mencipta sejarah hitam yang amat merugikan
peneroka Felda, ” tambahnya.
Justeru itu katanya, mengekalkan kepimpinan kerajaan sedia ada akan
memporak-perandakan negara dan mencelarukan sistem pentadbiran negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan