BATU PAHAT: Seorang tukang masak maut dipercayai ditikam peragut ketika
menaiki motosikal untuk pulang ke rumahnya di Jalan Sutera 7, Taman
Sutera Yong Peng, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, dalam
kejadian pada pukul 1.25 pagi itu, mangsa, Tan Chi Ann, 47, dipercayai
terkena tikaman di bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia
kira-kira pukul 3 pagi ketika menerima rawatan di sebuah hospital
swasta.
Menurutnya, wanita tersebut dipercayai diragut oleh suspek bermotosikal
ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari rumah keluarganya yang
terletak berdekatan.
“Mangsa yang menaiki motosikal tiba-tiba didatangi suspek yang meragut
beg tangan miliknya, mangsa dipercayai cuba melawan dan mempertahankan
diri sebelum suspek bertindak agresif menikam dada mangsa.
“Polis percaya suspek lebih daripada seorang dan usaha memburu mereka
kini giat dijalankan. Beg tangan milik mangsa hilang dan kita menyiasat
dari pelbagai sudut motif namun tidak menolak kemungkinan membabitkan
kegiatan ragut atau samun,” katanya ketika ditemui dalam Op Selamat
12/2018 Ibu pejabat Polis Daerah (IP-D) Batu Pahat, di sini sebentar
tadi.
Abdul Wahib berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil
menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan