Tetapi yang datang ke pekan kecil kira-kira 40km dari bandar raya Melaka pada petang Ahad itu bukannya pemimpin BN sebaliknya Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Bendera BN di tepi jalan itu mula naik sejak lebih kurang dua minggu yang lalu, kata penduduk setempat. Dua tiga hari sebelum Muhyiddin datang, bendera BN naik pula betul-betul di sepanjang jalan kampung masuk ke tapak acara.
Ketua Amanah Masjid Tanah, Julas Kassim menepis tanggapan banyaknya bendera biru di beberapa kampung di pekan itu tanda sokongan yang kuat kepada BN. Bendera itu bukan dinaikkan sendiri oleh penyokong BN di rumah masing-masing tetapi dipasang di merata tempat oleh mereka yang diupah, katanya.
"Begitu banyaknya pasang bendera, sampaikan di depan rumah timbalan penasihat Amanah Melaka pun naik bendera BN," katanya yang juga naib ketua Amanah Melaka.
Sejak dibentuk selepas persempadanan semula pada 2003, Masjid Tanah dengan pecahan pengundi 83% Melayu, 13% Cina dan 4% India adalah kubu kuat BN. Umno yang mewakili BN mengalahkan PAS dengan majoriti berbelas ribu undi pada semua tiga pilihan raya umum (PRU) yang lalu.
Pada PRU 2013, calon BN Mas Ermieyati Samsudin, yang juga ketua Puteri Umno, mengalahkan calon PAS, Mohd Nasaie Ismail dengan kelebihan 16,200 undi.
Pada 2008, BN menang dengan majoriti 12,285 undi manakala pada 2004, lebih besar lagi, 18,399 undi.
Tetapi pada PRU14 nanti, Pakatan Harapan (PH) yakin ia boleh merungkaikan cengkaman Umno apabila seorang bekas pesuruhjaya kehakiman yang juga anak tempatan, Sabirin Jaafar disebut-sebut akan menjadi calonnya.

Sabirin, 54, bukanlah orang asing dalam politik. Dua adik beradiknya pernah bertanding mewakili PKR pada PRU 2004 dan 2008 di Melaka tetapi kalah.
Abangnya Khalid kalah di kawasan Parlimen Bukit Katil. Kakaknya Zainon, bekas ketua wanita PKR Melaka, kalah di kerusi negeri Ayer Keroh dan Parlimen Tangga Batu.
Khalid kini pegawai strategik dan penyelidik kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sementara kakaknya tidak lagi aktif dalam politik.
Kepada The Malaysian Insight, Sabirin bercerita bagaimana ayahnya membuka cawangan PAS di Ramuan China Besar di tengah-tengah kejiranan yang semuanya Umno. Ayahnya juga pernah membawa presiden parti Islam itu Dr Burhanuddin al-Helmy datang ke Masjid Tanah pada akhir 1950-an.
"Politik ini rasanya memang ada dalam DNA kami," kata lulusan undang-undang kumpulan pertama dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada 1987.
Sabirin memulakan kerjaya dalam bidang perundangan sebagai majistret sebelum dilantik sebagai penolong pendaftar Mahkamah Tinggi, penyelidik Mahkamah Persekutuan dan kemudian hakim Mahkamah Sesyen. Beliau juga pernah menjadi pegawai khas kepada dua bekas ketua hakim negara, Eusoff Chin dan Dzaiddin Abdullah.
Selepas meninggalkan perkhidmatan, pemegang Ph.D undang-undang maritim ini menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Selepas 10 tahun mengajar, beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada Oktober 2014 dan tidak menyambung kontraknya selepas dua tahun.
Latar belakang undang-undangnya yang luas sejak 1987 itulah juga yang membantu Sabirin membuat lompatan besar dalam hidupnya – masuk politik selepas meninggalkan badan kehakiman setelah melihat "hal-hal yang tidak sejiwa, yang berlaku dalam negara."
"Bersatu ini lahir kerana pelanggaran undang-undang," katanya, merujuk kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pencabulan integriti institusi negara termasuk polis, pencegah rasuah sampailah kepada Parlimen.
Tetapi tidak seperti abang dan kakaknya, beliau memilih masuk Bersatu yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.
"Wadahnya lain tetapi perjuangannya sama, untuk rakyat," katanya.
"Selepas saya teliti dari segi politik, lebih sesuai saya masuk Bersatu kerana Masjid Tanah ini kawasan jantung Melayu.
"Kalau menang di sini, kita boleh menang Malaysia," katanya, merujuk kepada peralihan undi Melayu yang diharapkan oleh PH pada PRU14 ini.
Menuju PRU14, PH percaya sokongan pengundi bukan Melayu terutama Cina masih kekal pada pembangkang seperti sejak dua pilihan raya umum yang lalu. Sekiranya pengundi Melayu melakukan perubahan – sekurang-kurangnya antara 10 hingga 15% – BN akan cipta sejarah: tumbang sejak Merdeka.

Tetapi bagi Azizan Hassan, 40, pengundi sejak 2004 yang sebelum ini menyokong Umno, di kawasan jantung Melayu seperti Masjid Tanah, Bersatu berdepan cabaran meyakinkan orang Melayu untuk berani membuat perubahan.
"Di kampung-kampung, orang Melayu takut hendak menyokong pembangkang kerana selama ini mereka ditakut-takutkan," katanya.
"Sekarang ini kita sokong pembangkang macam kita ini penjenayah.
"Ini abang tengok tak nampak ramai orang (datang dengar ceramah). Kalau kita buat malam-malam, lagi ramai datang… tapi menyorok bawah pokok," tambahnya.
Majlis sembang santai bersama Muhyiddin pada petang Ahad itu dihadiri lebih kurang 200 orang, satu perempat daripadanya petugas acara.
"Memanglah orang kampung takut. Kalau sokong pembangkang, nanti itu tak dapat, ini tak dapat, nama kena potong dengan JKKK," kata seorang wanita pesara swasta, 60, yang enggan namanya didedahkan.
JKKK ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang "memegang kunci" kepada semua bantuan kerajaan. Ia lazimnya dipengerusikan ketua Umno peringkat cawangan kampung berkenaan.
Tetapi Aziz yakin orang Melayu di kawasan luar bandar akan buat perubahan politik kalau mereka diberikan kesedaran politik – yang hidup mereka akan menerima kesan daripada pilihan mereka di peti undi.
"Ada yang kata pilih apa pun BN atau PH, kita macam ini juga. Tak betul macam itu… tak boleh.
"Yang kita pilih ini wakil rakyat, wakil kita yang nak berkhidmat kepada kita… bukan yang berhormat," katanya.
Dalam ucapannya semasa majlis sembang santai itu, Sabirin meminta pengundi Masjid Tanah supaya jangan termakan umpan Perdana Menteri Najib Razak yang baru-baru ini mengaku kerajaan ada buat silap dan mahu belajar daripada kesilapan dan memperbaiki tadbir urus.
"Saya biasa dengar orang mengaku salah. Kalau benar-benar rasa bersalah, wajar beliau letak jawatan kerana beliau tidak ada penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi sekarang," katanya, merujuk pada isu kos sara hidup yang menekan rakyat.
Seperti pemimpin tempatan lain yang menyulam pantun dalam ucapan mereka pada petang itu, Sabirin juga ada pantun yang ditujukannya kepada Najib.
"Siakap senohong jenahak ikan duri, bercakap bohong tak layak jadi perdana menteri."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan