Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abd Aziz berkata penolakan rakyat terhadap isu rakaman audio yang didakwa merupakan dirinya itu membuktikan rakyat sudah muak dengan permainan fitnah Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, rakyat kini sudah mengetahui strategi PH yang berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang dengan cara fitnah.
“Yang saya tengok sibuk dengan rakaman tersebut ialah kalangan ahli PAN. Apabila saya menegaskan rakaman audio tersebut palsu, rakyat semakin tidak mahu memberi perhatian tentang isu ini.
“Ini menunjukkan rakyat sudah sedia maklum dengan senjata utama PH untuk menjatuhkan PAS ialah dengan cara memfitnah PAS bersekongkol dengan UMNO-BN.
“Jadi mereka sendiri yang mencipta isu kononnya PAS terima duit UMNO untuk membenarkan fitnah yang mereka sebarkan,” ujar beliau ketika ditemui di bilik media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Abduh yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan pendirian untuk tidak membawa isu ini ke mahkamah.
Beliau yakin fitnah yang dilemparkan kepadanya itu tidak akan menjejaskan reputasi dirinya sebagai wakil PAS dalam PRU-14.
“Tidak perlu saman atau bersumpah dengan nama Allah kerana saya yakin saya bercakap benar dan selebihnya saya serahkan kepada rakyat untuk menilai.
“Tambahan almarhum ayah saya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sepanjang hidup dihadapkan dengan beratus fitnah tetapi satupun beliau tidak saman. Beliau serahkan urusan ini (fitnah) di mahkamah Allah kelak. Jadi malulah saya baru sekali dua difitnah sudah melenting.
“Yang suruh saya bersumpah dengan nama Allah itu ialah individu yang sama pernah bersumpah dengan nama Allah untuk bersama berjuang dengan PAS namun dia sendiri melanggar sumpah. Jadi kenapa perlu saya ikut permintaan mereka sedangkan rakyat tidak menuntut saya berbuat demikian?,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan