Oleh Muhammad Ridz Effandy bin Ibrahim
BANGI: Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan
kenyataan Nik Omar Nik Abdul Aziz sekadar andaian semata-mata apabila
menyarankan PAS bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14).
Beliau menyatakan PAS tetap berpegang teguh dengan kesepakatan bersama
rakan parti baru dalam meletakkan Islam diperingkat tertinggi.
“Itu adalah andaian. Andaian itu boleh berlaku dan tidak boleh berlaku.
"Apa yang penting, kita melihat realiti yang sekarang.
"Sekarang ini PAS bersama rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera telah sepakat di atas meletakkan prinsip Islam di hadapan.
"Itu yang akan kita bina pada PRU14 akan datang,” katanya dalam sidang
media selepas program Town Hall Anak Muda bersama PAS di Bangi,
Selangor.
Program yang juga turut dihadiri Naib Ketua Pemuda Pas, Ustaz Ahmad
Fadhli Shaari , Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ir. Hj Khairil Nizam dan
Pengarah Strategi Pemuda Pas, Shahir Sulaiman.
Terdahulu, dalam satu wawancara Nik Omar menyifatkan bahawa perlunya
PAS bergabung dengan PH kerana parti gabungan itu mempunyai ramai
pemimpin besar dan berpengalaman.
Malah, beliau juga menegaskan bahawa PH mempunyai kekuatan yang tersendiri melalui parti didalamnya.
Nik Omar sebelum ini terpalit dengan kontroversi yang menyatakan bahawa
beliau bakal menyertai Amanah namun hasrat itu terbantut kerana ibunya
tidak bersetuju.
Dalam pada masa yang sama, Khalil enggan mengulas lanjut ketika diaju
soalan berkenaan adakah Tan Sri Khalid Ibrahim bakal bertanding pada
PRU14 menggunakan logo PAS.
Walau bagaimanapun Khalil berkata, mantan menteri besar itu seorang yang komited dengan PAS dari dulu sehingga kini.
“Jawapan itu akan terjawab di hari penamaan calon.
"PAS terbuka dan diantara apa yang ditawarkan PAS ialah konsep kerajaan teknokrat.
"Apa yang peting, Khalid Ibrahim memberi komitmen yang sepenuhnya untuk menyokong dan bersama-sama dengan PAS.
“Untuk makluman juga esok (hari ini) Tan Sri Khalid akan bersama kita
dalam pelancaran manifesto PAS peringkat kedua sekali gus menunjukkan
komitmen beliau bersama PAS dan Gagasan Sejahtera,” jelasnya.
Untuk rekod, PAS kini bersama GAGASAN selepas parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR.
Hal ini kerana perbalahan dalaman terutama penentangan untuk PAS melaksanakan hukuman hudud di Kelantan.
GAGASAN dianggotai PAS, Ikatan, BERJASA, serta lebih 200 Badan Bukan
Kerajaan (NGO) dan NGI, dan akan bertanding menggunakan logo PAS pada
pilihan raya kali ini.
Manakala, PH pula ditubuhkan selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) dengan dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan