Kita sedar kepimpinan ada kalanya akan membuat
keputusan kurang popular – namun keterbukaan adalah asas penyelesaian
paling baik dalam menimbang kehendak, kemahuan rakyat dengan keputusan
berdasarkan keadaan dan kemampuan.
Semakin ghairah bila pilihan raya umum ke-14 semakin menghampiri kita. Kempen semakin hebat, macam-macam janji dilafaz dan masing-masing mahu mempengaruhi pengundi untuk menang.
Di satu pihak – mahu selamatkan Malaysia daripada apa yang didakwa melakukan rasuah, merompak dan mencuri wang rakyat, di pihak yang lain membicarakan kepentingan peningkatan ekonomi, memastikan kemajuan dan pembangunan negara, khususnya membela rakyat.
Semakin hebat suara-suara politikus yang membicarakan kehendak – mahu memastikan Malaysia makmur, aman dan sentosa.
Sementara mahu memastikan yang baik – ahli politik kita membicarakan yang bukan–bukan.
Tuduhan sesama sendiri menjadi alat kempen. Menuduh dan usaha memburukkan semakin menjadi-jadi, untuk mencabar mendapatkan kuasa.
Namun, sesuatu yang jelas kelihatan adalah seperti terdapat 2 trend berkempen – menuduh – memburuk-burukkan dan kempen positif mencanangkan usaha pembangunan dan kemajuan yang mahu dicapai bersama.
Ini amat jelas – perbandingan kempen antara kedua-dua parti besar yang cabar-mencabar untuk meraih kuasa memerintah negara ini.
Sekiranya diteliti salah satu trend amat jelas ialah – kempen memburuk-burukkan kepimpinan yang ada sedang berdepan kempen uar-uar pembangunan yang telah dijalankan dengan pembangunan sedang dilakukan kerajaan memerintah dan bakal meneruskan pemerintahan.
Kedua-dua cara ini dapat dilihat dengan jelas – ada yang mahu menggunakan isu-isu populis untuk mengharapkan undi dan amat berbeza dengan berkempen untuk menang dengan meletakkan hasrat mengutamakan rakyat.
Kita seharusnya sedar – seperti mana kata-kata Datuk Onn Jaafar – kepentingan mengenai ekonomi:
“Political power without Economic power is a shadow. The industrial and commercial mechanism is the means by which a country satisfied the necessaries of life according to its standards of living.
Those who control a vital factor in it can, if they wish, obstruct or cut off the supply of the necessity and so being decisive pressure to bear upon the political authority.”
Datuk Onn Jaafar CO 537/4785, Memorandum National Services for Malays (Muka surat 220, Buku Dato Onn Jaafar, Pengasas Kemerdekaan, karya Prof Ramlah Adam)
Yang mana ini jelas – kedaulatan sesebuah negara – bangsa itu bergantung kepada kekuatan pegangan ekonomi.
Pembebasan jiwa individu juga banyak bergantung kepada kekukuhan ekonominya.
Justeru, kita dalam membuat pemilihan harus mengenal pasti mereka yang banyak membincangkan dan mengunjurkan pembangunan ekonomi dan kekayaan rakyat sebagai kempen mereka berbanding andaian – persepsi untuk memburuk-burukkan pihak yang mencabar.
Kita tidak seharusnya membuat pilihan atas landasan kepentingan politik peribadi semata-mata.
Pelantikan yang hanya dibuat untuk mewujudkan saf-saf tertentu yang bakal dan mampu menjaga kedudukan politik individu sepatutnya dianggap pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Pemimpin pula harus sedia bersama-sama rakyat mendengar dan memahami hasrat dan definisi kemakmuran.
Kita sedar kepimpinan ada kalanya akan membuat keputusan kurang popular – namun keterbukaan adalah asas penyelesaian paling baik dalam menimbang kehendak, kemahuan rakyat dengan keputusan berdasarkan keadaan dan kemampuan.
Dalam pada itu, pilihan kita perlu tepat dan perlu memastikan keuntungan adalah untuk rakyat dan setiap usaha pasti ada kepayahan dalam menikmati kejayaan.
Jangan kita menggadaikan apa yang ada demi menebus sedikit kesenangan, lantas untuk kita memindahkan dosa besar kemiskinan kepada generasi seterusnya kerana kesilapan kita memilih dan memperjudikan harapan rakyat yang diperjuangkan ikhlas dan yang palsu.
Mohd Darus Ismail ialah pembaca FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan