Oleh Umi Faten Nadia
SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan ganti rugi
sebanyak RM114,800 kepada keluarga Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati
lapan tahun, adalah wajar walaupun tidak setimpal dengan apa yang
dilalui mereka.
Menurut Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nazim
Johan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor-faktor yang
tidak dapat dikawal oleh mahkamah sehingga terpaksa menolak rayuan
tersebut.
"Mungkin ada fakta yang mungkin tidak kita ketahui tapi saya rasa kalau
nak diikutkan memanglah tidak cukup. Jadi, mungkin perlu ada mekanisme
lain yang harus difikirkan oleh pembuat undang-undang untuk melihat
perkara ini berdasarkan keadaan semasa.
"Jadi mungkin kita perlu melihat ada formula yang melihat kembali
jadual gantirugi ataupun menilai keadaan tertentu berdasarkan faktor
luaran sama," katanya kepada Antarapos.
Pada 29 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan kerajaan dan
polis untuk mengurangkan jumlah ganti rugi yang diperoleh keluarga
terbabit atas alasan peruntukan undang-undang berhubung perkara itu
adalah jelas dan tidak perlu diperhalusi lagi.
Nazim juga menasihatkan netizen supaya tidak melatah terhadap keputusan
ini yang mendakwa ia 'berat sebelah' kerana mahkamah telah mengambil
kira semua aspek melibatkan kedua-dua belah pihak.
"Kalau nak diikutkan, mungkin mahkamah membuat keputusan berdasarkan
fakta-fakta yang ditawarkan kepada mereka yang mengikut perkiraan
berdasarkan kes-kes lepas ini.
"Tapi kalau itulah keputusan akhirnya maka kita di pihak masyarakat
merasakan tidak sepatutnya begitu. Maknanya kita minta masyarakat
menilai balik dan kena ada mekanisme untuk mengatasi kes-kes seperti ini
supaya ada satu kaedah penilaian terhadap rujukan semakan kehakiman
yang perlu dilakukan," ujarnya.
Aminulrasyid terkena tembakan dilepaskan polis semasa mengejar kereta
yang dipandu laju remaja itu pada kira-kira 2 pagi, 26 April 2010.
Pada Mac 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan ganti rugi
RM414,800 diberikan kepada ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad dan kakak
sulungnya, Nor Azura atas kematian remaja itu selepas membenarkan
sebahagian rayuan Koperal Jenain Subi dan lima lagi.
Pada 2 Jun 2017, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi
bahawa tiada justifikasi (kewajaran) untuk polis melepaskan tembakan ke
arah Aminulrasyid pada 2010.
Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengurangkan jumlah ganti rugi diberikan kepada keluarga Aminulrasyid kepada RM114,800.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan