Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
PUTRAJAYA: PPBM pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dibelit pelbagai
masalah dalaman diarah bubar sementara setelah parti itu gagal
melaksanakan arahan Pendaftar Pertubuhan untuk mengemukakan dokumen
tertentu kepadanya.
Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata PPBM didapati melanggar
Akta Pertubuhan walaupun diberi cukup ruang untuk mengemukakan
dokumen-dokumen berkenaan.
"Perintah pembubaran sementara itu sudah dikemukakan kepada PPBM pada
jam 12.30 tengahari tadi dengan dialamatkan bagi serahan kepada
Setiausaha Agung PPBM.
"ROS dapati PPBM gagal menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir
maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis yang dikeluarkan
mengikut Seksyen 14 (2) akta sama pada 28 Februari lalu," katanya.
Surayati berkata PPBM diberi 30 hari untuk membuat rayuan terhadap
keputusan itu namun perlu mengemukakan semua dokumen-dokumen yang
diminta RoS.
Jika gagal berbuat demikian, PPBM akan secara automatik terbubar, beliau memberitahu sidang media di sini sebentar tadi.
"Jadi, menurut Seksyen 14 (6) Akta Pertubuhan 1966, sekiranya PPBM
dalam tempoh tidak lebih 30 hari dari tarikh perintah pembubaran
sementara ini dikeluarkan, menyerahkan butir maklumat dan dokumen
seperti diperintahkan, ROS boleh membatalkan perintah pembubaran
sementara berkenaan.
"Berdasarkan Seksyen 14 (7) akta sama, selepas tamat tempoh 30 hari
itu, sekiranya ada rayuan dan selepas dari tarikh jika rayuan itu
ditolak, maka Perintah Pembubaran Sementara ini akan menjadi mutlak dan
PPBM dibatalkan pendaftarannya.
"PPBM dibubarkan sementara dan segala akiviti yang berkait dengan parti tidak dibenarkan buat masa sekarang," jelasnya.
Pembubaran sementara PPBM bermakna Pakatan Harapan yang disertai oleh
parti itu bersama DAP, PKR dan Amanah tidak boleh berdaftar sebagai
sebuah parti politik demi menggunakan logo sama untuk PRU14.
Dalam keadaan itu, Dr Mahathir berkata calon-calon PH akan menggunakan
logo satu daripada tiga parti lain di dalam gabungan itu.
Beberapa pemimpin PKR mengesahkan sudah ada persetujuan untuk calon
calon PH menggunakan logo PKR pada PRU14 sungguhpun keputusan itu tidak
disenangi DAP.
Pengumuman mengenai logo itu akan dibuat esok oleh Dr Mahathir sendiri di Pasir Gudang Johor.
Surayati juga turut menjelaskan bahawa 428 aduan yang diterima RoS adalah berkaitan dengan sistem tadbir urus PPBM.
"Kebanyakan dengan tadbir urus dimana ahli tidak berpuas hati dengan cara pemimpin mengendali parti.
"Contohnya, cara mengendalikan mesyuarat, dokumen yang sepatutnya
diedarkan kepada ahli dan penggunaan perkataan Armada yang tidak wujud
dalam perlembagaan.
"Disini kepimpinan tidak menerangkan dengan baik kepada ahli akar umbi," tegasnya.
PPBM ditubuhkan tahun lalu selepas Dr Mahathir, anaknya Mukhriz dan
Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar Umno setelah gagal mendapat sokongan
dalam parti itu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun PPBM ditimpa masalah perbalahan di kalangan pemimpin
utamanya selain gagal mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan
bahagian.
Keadaan itu menyebabkan ribuan ahli PPBM keluar parti di beberapa negeri, termasuk Kedah, Negeri Sembilan dan Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan